Papan Iklan #Bebas Anwar Berbentuk Politik – Nur Jazlan

96
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak harus terbabit dengan agenda politik mana-mana parti.

Malah, katanya, papan iklan berbentuk politik juga tidak wajar digantung sekiranya ia bukan kempen pilihan raya.

“PBT janganlah berpolitik. Mana ada PBT yang benarkan papan tanda berbentuk politik,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung tindakan pihak polis menurunkan tiga papan iklan #BebasAnwar yang menuntut pembebasan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, Nur Jazlan menjelaskan, tindakan polis menurunkan papan iklan itu dibuat berdasarkan Akta Polis.

“Papan tanda berbaur politik tak boleh dikeluarkan oleh PBT. Buat apa PBT terlibat dalam politik.

“Pihak polis akan bertindak kalau mereka anggap (papan tanda) itu tak sesuai,” katanya. – MK