Pakatan: Rumusan, Apa Yang Tersirat?

684
0

Oleh: AZMAN HUSSIN

SEBENARNYA kita telah hilang punca dalam perdebatan politik hari ini. Kita dilalaikan oleh pelbagai dakwaan dan berita-berita yang tidak pasti, yang mempengaruhi cara kita berfikir
dan bertindak dalam menyelesaikan masalah politik. Kita hanyut dalam isu-isu.

Sudah sampai masanya kita kembali kepada persoalan pokok dan membuat rumusan apa sebenarnya yang terjadi dalam politik Malaysia hari ini.

Marilah kita berfikir secara rasional, menyeluruh dan realistik.

Sebagai contoh, kenapa Dr Mahathir boleh berdamai dengan pemimpin-pemimpin DAP dan Anwar Ibrahim, dan apakah yang anda boleh baca dari keadaan ini?

Anda tahu permusuhan sengit di antara mereka bagaimana Dr Mahathir menggelar Lim Kit Siang rasis, dan bagaimana Lim Kit Siang membalas Dr Mahathir dengan menuduh Dr Mahathir menghilangkan berbilion-bilion wang negara.

Begitu juga dalam kes Dr Mahathir dan bekas timbalannya, Anwar Ibrahim.

Apakah yang menyatukan mereka ini kemudiannya?

Soalan ini kelihatan rumit, tetapi jawapan sebenarnya mudah sahaja, iaitu matlamat mereka yang sama. Matlamat mereka sama, iaitu menjatuhkan kerajaan.

Kita boleh berteka-teki mengenai hal ini, tetapi realitinya ia adalah kerana kepentingan bersama mereka ketika ini melebihi permusuhan mereka yang lalu.

Itulah asasnya.

Mungkin anda akan bertanya, di mana perjuangan mereka selama ini untuk rakyat? Itu anda tanyalah mereka. Bagaimana dengan tuduhan Dr Mahathir yang DAP rasis? Adakah DAP sudah berubah? Bagaimana dengan tuduhan Lim Kit Siang yang Dr Mahathir menghilangkan berbilion-bilion wang negara? Adakah itu tuduhan palsu? Dan banyak lagi soalan yang boleh ditanyakan.

Kesimpulannya, dalam soal ini, mereka hanya mahu menjatuhkan kerajaan.

Anda mungkin berkata, fakta itu semua orang tahu bahawa tugas dan peranan pembangkang adalah menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

Apa yang mahu diberitahu kepada anda adalah lebih daripada perkara itu.

Ya, pembangkang sekadar mahu menumbangkan kerajaan. Tidak ada alasan lain. Semata-mata itu.

Anda tidak faham lagi?

Apabila anda mahu menjatuhkan seseorang, atas motif apa sekalipun tindakan itu, anda akan berusaha melakukan apa sahaja.

Inilah yang patut anda fahami apabila musuh-musuh politik tadi bersatu. Mereka melakukan apa sahaja yang tidak masuk akal seperti perdamaian antara mereka. Perdamaian yang tidak berprinsip dengan mengorbankan penyokong-penyokong mereka.

Maksudnya, tindakan pembangkang bukan kerana kerajaan rasuah, menyeleweng atau menindas rakyat, kerana kini mereka saling berbaik dengan individu-individu yang pernah mereka dakwa korup sebagaimana mereka menuduh pemimpin-pemimpin kerajaan hari ini.

Jika kerajaan mentadbir dengan baik dan sempurna sekali pun, mereka tetap akan membangkang dan mahu menumbangkan kerajaan.

Tidak hairanlah jika semua yang dilaksanakan oleh kerajaan sedia ada dibangkang.

Mereka tidak pernah memuji atau menyokong kerajaan.

Semua hujah yang dikemukakan kepada orang ramai hanyalah alasan untuk mewajarkan tindakan mereka di mata umum.

Jadi, apa yang sebenarnya berlaku?

Mari saya tunjukkan kepada anda satu contoh yang mudah. Ia sebenarnya seperti seorang peniaga yang memburukkan pesaingnya di kedai bertentangan agar orang ramai
tidak membeli dengannya. Apabila si pesaing tidak mendapat sambutan, tentulah barang-barang jualannya laris. Itulah cara dia berfikir.

Dalam konteks politik Malaysia pula, pembangkang hanya mahu mengeksploitasi kelemahan atau keburukan kerajaan untuk menaikkan diri mereka. Sama ada kerajaan benar-benar buruk atau tidak, adalah tidak penting bagi mereka.

Kenapa dikatakan begitu?

Seperti dalam perdebatan, bukan lagi kebenaran yang mahu disampaikan, sebaliknya kemenangan yang mereka mahukan.

Atas apa cara sekali pun, kemenangan adalah kiblat mereka.

Ini anda boleh lihat apabila prinsip-prinsip mereka untuk menyesuaikan dengan situasi semasa.

Dalam kehidupan nyata, apabila seseorang peniaga memburukkan seorang peniaga yang lain, kita akan nampak bahawa itu adalah kaedah kotor dalam berniaga.

Seperti hal ini jugalah ia patut direnungkan dalam politik.

Kita berbalik kepada perdamaian musuh-musuh politik tadi.

Perdamaian mereka menunjukkan permusuhan mereka dahulu bukanlah permusuhan atas nama memperjuangkan kebaikan untuk rakyat dan negara. Mereka bermusuh kerana kepentingan
mereka berbeza, walaupun mereka menggunakan nama rakyat.

Seandainya permusuhan mereka dahulu kerana rakyat dan negara, tentulah tidak logik mereka bersatu hari ini.

Jika anda berfikir, anda akan nampak bahawa tuduhan pembangkang ke atas Dr Mahathir dahulu hanyalah alasan untuk menjatuhkan beliau. Sama ada beliau seperti yang
dituduh atau tidak, ia tidaklah penting dan tidak akan dibincangkan di sini.

Asasnya kedudukan masing-masing ketika itu saling bertentangan. Mereka tidak berkongsi kepentingan bersama.

Jika ia masalah rakyat dan negara, sudah tentu hari ini mereka tidak akan berdamai dan bersama.

Begitu jugalah sebaliknya berlaku ke atas pembangkang oleh Dr Mahathir.

Jadi, kita semua menjadi mangsa kepada percaturan politik mereka untuk mendapatkan kekuasaan.

Kita dibiarkan kebingungan mencari kebenaran dalam isu-isu yang diutarakan oleh mereka sehingga kita lupa apa motif mereka. Dan kini tiba-tiba mereka mengubah pendirian dengan membuat pelbagai retorik yang tak mengarut.

Dalam bahasa yang mudah, orang ramai hanya dipergunakan oleh mereka untuk mengangkat diri mereka ke puncak kekuasaan.

Sudah tentulah mereka menjanjikan apa sahaja untuk meraih undi, walaupun tidak masuk akal. Sebagai contoh, tidakkah lucu mereka mahu kembali melaksanakannya cukai SST sebanyak 10C%, sedangkan sistem GST sekarang 6%?

Tentu timbul soalan, berilah peluang kepada mereka untuk membuktikan keikhlasan mereka.

Sebenarnya, tidak perlu diberikan contoh lain lagi. Lihatlah sahaja kepada perdamaian dan perhubungan luar tabii mereka hari ini.

Jika mereka ikhlas, sudah tentu mereka tidak akan berdamai. Sudah tentu mereka akan kekal konsisten dengan pendirian mereka selama ini.

Perdamaian mereka adalah sesuatu yang mengelirukan. Dengan perbezaan yang ketara antara mereka, ia boleh dibaratkan sebagai suatu hubungan luar tabii.

Anda mesti memahami perkara ini terlebih dahulu sebelum pergi kepada persoalan-persoalan lain.

Dalam keadaan ini, pertukaran kerajaan sebenarnya adalah peralihan daripada kerajaan sedia ada kepada yang baru. Bukan daripada buruk kepada yang lebih baik. Itu saja maknanya. Hanya perubahan siapa pula yang memerintah dan ia tidak ada jaminan akan menjadikan negara lebih baik.

Jika anda melihat apa yang mereka tawarkan dalam manifesto mereka, kebanyakannya tidak logik dan tidak praktikal dilakukan. Mereka seperti tidak ada perancangan masa depan dan terdesak. Yang boleh dikatakan, mereka berfikir mudah: dapatkan dahulu kuasa, kemudian baru fikirkan yang selainnya.

Kerana itulah apa yang mereka lakukan hari ini adalah mengarut dan merepek.

Mereka hanya memanipulasi orang ramai untuk mencapai matlamat mereka meraih kuasa sehingga mengubah apa saja prinsip mereka.

Apabila anda memahami perkara ini, anda bolehlah beranjak memahami perkara-perkara yang lain untuk membuat pilihan.