Ops Yaman 2 Tidak Dapat Kelulusan Kabinet

58
0

KUALA LUMPUR: Ops Yaman 2 tidak mendapat kelulusan pentadbiran terdahulu susulan tiada keputusan Kabinet berhubung gerakan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi membantu pakatan ketenteraan Arab Saudi.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, berkata bekas Menteri Pertahanan difahamkan tidak mendapat kelulusan Kabinet dari segi prosedur operasi standard (SOP) untuk operasi berkenaan.

“Dari segi SOP, saya difahamkan bekas Menteri Pertahanan tidak mendapat kelulusan Kabinet untuk Ops Yaman 2.

“Ops Yaman 2 berakhir pada 4 September 2018 selepas kerajaan ketika ini membuat keputusan menarik balik pasukan ATM dari Arab Saudi atas sebab tidak selaras dengan dasar berkecuali Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Chang Lih Kang (PH PKR-Tanjong Malim) yang meminta penjelasan berhubung tugas pasukan ATM yang berpangkalan di Riyadh dan jumlah rakyat Malaysia serta anggota tentera di Yaman.

Chin Tong berkata, asalnya pasukan ATM diatur gerak untuk membawa keluar rakyat Malaysia di Yaman, namun diubah kepada misi membantu pakatan ketenteraan Arab Saudi.

“Ini bertentangan dengan dasar luar negara yang tidak campur tangan dalam urusan konflik negara lain manakala pembabitan antarabangsa Malaysia hanya menerusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Malaysia tidak mempunyai perjanjian dengan Arab Saudi bagi penempatan pasukan ATM di sana.

“Ketika ini, dianggarkan 700 rakyat Malaysia masih berada di Yaman dan ATM tidak pernah menempatkan anggota di Yaman,” katanya.

Kenyataan Chin Tong itu turut disahkan Khairy Jamaluddin (BN UMNO-Rembau) ketika mengemukakan soalan tambahan.

“Saya ingin mengesahkan apa yang menteri sebutkan bahawa Jemaah Menteri (pentadbiran terdahulu) tidak dimaklumkan berkenaan fasa yang kedua (Ops Yaman 2).

“Malah, saya mengikuti perbincangan dalam Jemaah Menteri dengan teliti kerana ini adalah deployment (penghantaran) asset ketenteraan kita,” katanya yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan.

Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, menerusi Ops Yaman 1, seramai 27 pegawai dan 16 lain-lain pangkat ATM serta dua pesawat C130 ditempatkan di Riyadh pada 6 April 2015 bagi tujuan membawa keluar rakyat Malaysia dari Yaman.

“Bagaimanapun, sejak 11 Jun 2015, seramai 27 pegawai dan 62 lain-lain pangkat pasukan ATM digilirkan penugasan setiap tiga bulan di Riyadh yang membabitkan 12 siri.

“Ini bertujuan membantu urusan logistik penerbangan bagi membawa peralatan alat ganti peluru dan bahan letupan milik pakatan Arab dalam wilayah Arab Saudi.

“Semua penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilakukan menerusi ruang udara Arab Saudi iaitu di luar zon konflik atau peperangan yang dinamakan Ops Yaman 2,” katanya.

Susulan kos operasi dan selenggara tinggi serta tekanan terhadap trup dan kru penerbangan, beliau berkata, TUDM mencadangkan supaya pasukan ditarik balik pada 2016.

Chin Tong berkata, bekas Panglima Angkatan Tentera dan bekas Menteri Pertahanan bagaimanapun tidak bersetuju atas cadangan penarikan balik trup terbabit.

Menjawab soalan tambahan Lih Kang mengenai SOP bagi anggota tentera Malaysia yang ditempatkan di negara lain, perlindungan dan kos dibelanja dalam operasi Yaman, Chin Tong berkata, keseluruhannya sehingga misi ke-12 adalah RM14.6 juta.

“Anggaran perbelanjaan bagi setiap siri pengurusan untuk tiga bulan adalah RM1.5 juta,” katanya.