Nurul Izzah Diminta Tarik Balik Keputusan Lepas Jawatan

14
0

BUKIT MERTAJAM: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar diminta menarik balik keputusannya untuk meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang.

Gesaan itu disuarakan 13 cabang PKR negeri ini yang mahu pemimpin muda itu terus memikul tanggungjawab dan menerima amanah yang diberikan kepadanya selepas memenangi pemilihan parti baru-baru ini.

Ketua PKR Cabang Kepala Batas, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata beliau yang mewakili semua cabang PKR negeri menghormati keputusan dibuat Nurul Izzah.

Bagaimanapun, katanya, mereka masih memerlukan semangat perjuangan yang ada pada Nurul Izzah dalam menerajui MPN dan parti bagi mengangkat martabat PKR.

“Kami ambil maklum berkenaan peletakan jawatan Nurul Izzah dan menghormati segala keputusan yang dibuat olehnya.

“Ketua Cabang PKR negeri menyatakan sokongan penuh terhadap beliau namun memintanya menarik balik keputusan daripada meletak jawatan kerana memerlukan pemimpin pelapis muda seperti dirinya,” katanya dalam sidang media di Yayasan Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan Nurul Izzah meletak jawatan disifatkan satu kehilangan buat mana-mana organisasi.

Semalam, Nurul Izzah membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatan Naib Presiden PKR dan melepaskan jawatan Pengerusi MPN negeri ini.

Ahmad Zakiyuddin berkata permintaan untuk Nurul Izzah menarik balik keputusannya itu sudah dimaklumkan secara peribadi oleh beberapa Ketua Cabang kepada Nurul Izzah.

MPN PKR Pulau Pinang menjadi negeri kedua yang meminta Nurul Izzah mengekalkan jawatan yang disandangnya selepas Terengganu.

Sementara itu, Ketua Cabang PKR Tasek Gelugor, Mustafa Kamal Ahmad berkata, keputusan untuk melantik Nurul Izzah sebagai Pengerusi MPN negeri dibuat secara sebulat suara dalam perbincangan semua Ketua Cabang bersama Presiden PKR di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

“Kita melihat Nurul Izzah sebagai barisan pelapis muda yang layak untuk memimpin PKR, maka tidak timbul soal nepotisme dan lompat parti seperti yang diperkatakan hingga beliau membuat keputusan seperti itu.

“Beliau adalah penggerak reformasi dan memperoleh undi serta sokongan daripada semua ahli serta ketua cabang di sini maka apa yang digembar gemburkan sudah tentu tidak betul,” katanya.

Mustafa berkata, beliau memberi kepercayaan penuh kepada kepemimpinan pusat untuk mengatasi perkara yang berlaku dalam parti disamping berharap Nurul Izzah menarik balik keputusan yang dibuatnya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Cabang Permatang Pauh, Dr Norlela Ariffin memberitahu keputusan yang dibuat Nurul Izzah bukan secara tergesa-gesa dan mengambil kira pelbagai faktor.

“Saya yakin dia buat keputusan ini sambil memikirkan tanggungjawabnya yang banyak apatah lagi dia juga seorang ibu.

“Tetapi wanita memerlukan individu seperti Nurul Izzah yang berani bersuara dan mempunyai merit terbaik daripada apa yang dilakukannya,” katanya.