Nik Nazmi, Kerusi Kosong dan Masa Depan AMK

698
0
KONGSI

Oleh: Khizairi Khizan

Foto: Shaiful Nizam

Berakhir sudah Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi tahun 2015 pada Jumaat yang lalu.

Seperti sudah dijangka pada kongres kali ini ‘perang dingin’ dalaman AMK masih lagi berlaku sebenarnya walaupun Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad beberapa kali menafikan.

Perkara ini berlaku kerana kebanyakan AMK masih lagi tidak dapat menerima Nik Nazmi sebagai ketua apatah lagi semasa pemilihan AMK tahun lalu beliau hanya menang saat akhir sahaja dengan lawannya Amiruddin Shaari.

Semua tahu Nik Nazmi dari kem AMK4Malaysia ketika itu manakala Amiruddin pula dari kem AMKBaru.  Namun, kesan daripada pemilihan itu terbawa-bawa sehingga ke hari ini dalam setiap nafas AMK yang membuatkan Nik Nazmi tak senang duduk kerana beliau sedar jawatan yang dipegang sekarang boleh tergugat bila-bila masa sahaja.

Sebelum Kongres AMK lalu, kedengaran ada cabang AMK yang mahu membawa usul ke dalam kongres supaya Nik Nazmi meletakkan jawatan. Ini amat mengejutkan Nik Nazmi, tetapi beliau lebih cekap dengan menggunakan segala pengalaman yang ada supaya perkara itu tidak menjadi.

Namun, melihat antara kerjasama Nik Nazmi dengan timbalannya, Dr Afif Bahardin juga tidaklah selancar mana pun dan ia sudah cukup untuk menilai sejauh mana perjalanan AMK bersama Nik Nazmi. Jangan lupa, Dr Afif semasa pemilihan AMK dahulu pun datang dari kem AMKBaru.

Lagi satu jangan lupa juga denga peristiwa 9 exco AMK bertindak keluar dewan pada tahun lalu kerana protes terhadap kemenangan Nik Nazmi sebagai Ketua AMK yang baru.

Oleh itu tidak hairanlah semasa ucapan pergulungan Kongres AMK baru-baru ini, Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi saksi bahawa Nik Nazmi hanya bercakap dengan kerusi kosong. Di mana perwakilan pada masa itu? Seawal pagi kerusi dalam dewan itu mula dipenuhi dengan perwakilan dan apabila petang masing-masing sudah meninggalkan dewan.KONGRESPKR

Melihat keadaan itu Nik Nazmi harus sedar bahawa pengaruh beliau dalam AMK sudah berkurangan. Beliau lemah membawa AMK dalam arus politik negara. Apa yang berlaku sekarang ini dalam AMK amat memalukan. Mana penghormatan ahli AMK kepada beliau?

Untuk menutup malunya itu, Nik Nazmi cuba menjadi hero pula pada hari terakhir Kongres Nasional Tahunan PKR Ke-11 dengan menyerang Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin semasa ucapan penggulungan.

Beliau menya­rankan agar Khairy fokus untuk menjadi bintang televisyen kononnya disebabkan Menteri Belia dan Sukan itu gagal dalam mengekang belenggu perkauman, menghentikan kemusnahan hak-hak asasi dan kebebasan berpolitik serta kesetiaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya ingin menyatakan dengan jelas kepada pengundi-pengundi muda Malaysia. Tiada gunanya anda mengharapkan UMNO-BN terutamanya pimpinan muda mereka. Mereka telah berkali-kali membuktikan bahawa mereka tidak mampu menegur kebangkrapan moral pimpinan utama mereka. Lihatlah kegagalan usaha Ketua Pemuda UMNO yang kononnya sederhana dan liberal.

“Beliau setia bersama Presiden Parti yang dibelenggu begitu banyak skandal dan kontroversi. Beliau gagal mengekang belenggu perkauman yang saban hari semakin serius di kalangan ahlinya. Beliau tidak menghentikan kemusnahan hak-hak asasi dan kebebasan politik yang ada di negara ini. Pokoknya beliau telah gagal. Dan beliau akan terus gagal kerana UMNO sudah tidak mampu berubah. Nasihat saya kepadanya, lebih baik fokus saja menjadi bintang televisyen!,” ini antara inpati ucapan Nik Nazmi.

Persoalannya, sejauh manakah Nik Nazmi yang mengetuai AMK melaksanakan tanggungjawabnya bagi memas­tikan PKR benar-benar jauh lebih hebat daripada UMNO dari segenap segi?

Sebagai seorang yang menjawat jawatan Ketua AMK dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, beliau seharusnya lebih matang dalam berpolitik. Selama beliau menjawat jawatan Ketua AMK dan Exco Selangor, apakah pencapaiannya?

Sepatutnya beliau perlu cermin diri sendiri dahulu sebelum mempertikaikan orang lain dan menyerang peribadi orang lain.

Apa yang beliau anjurkan untuk anak muda Selangor selain hanya menyampaikan ceramah dan ucapan yang berunsur retorik politik semata-mata.

Nyata sekali apa yang cuba dilakukan Nik Nazmi hanya untuk mengalihkan isu dan mahu menutup kelemahannnya. Tindakan itu dilakukan kera­na AMK di bawah kepemimpinan beliau dilihat gagal apatah lagi dalam kea­daan beliau berhadapan krisis kepercayaan dalam kalangan ahlinya sendiri.

Paling menarik, Khairy sebagai seorang yang suka dikritik. Sama ada kritikan yang membina atau tidak, beliau tetap selamba tersenyum. Pentingnya, dia sanggup berubah sekiranya pandangan atau tersilap dari membuat keputusan. Berani berubah, pemuda berani dan setiakawan merupakan elemen penting yang berjaya beliau gabungkan untuk menapak selangkah demi selangkah dalam memenangi hati anak muda serta mencapai populariti di samping tidak menganjurkan budaya negatif kepada generasi muda. Mungkinkah perkara itu tidak wujud dalam diri Nik Nazmi hingga terpaksa menggunakan cara lain untuk menjatuhkan lawannya?

Dalam menarik sokongan dan menjuarai jiwa anak muda, Nik Nazmi jauh ketinggalan berbanding Khairy. Ingin ditekankan bahawa penulisan ini bukan untuk mengampu mana-mana pihak, tetapi ianya fakta. Lihat saja bagaimana Khairy berusaha membantu anak-anak muda mendapatkan pekerjaan menerusi BN Youth Job Fair di serata negara, memperjuang peluang para belia mendapatkan kuota perumahan mampu milik di bandar-bandar khususnya untuk bumiputera, parlimen belia sebagai saluran untuk mendengar suara anak muda dan banyak lagi. Namun, apa yang dilakukan Nik Nazmi untuk menarik anak muda?

Sebagai pemimpin yang kononnya mahu menonjolkan diri sebagai pejuang hak asasi, kebebasan berpolitik dan berani menegur pucuk pimpinan, maka Nik Nazmi perlulah memperbetulkan dahulu ‘rumahtangga’ sendiri yang boleh dianggap masih berada dalam keadaan retak.

Kedengaran juga Nik Nazmi bukan seorang ketua yang selalu turun padang melihat pergerakan anak buahnya walaupun memegang jawatan lebih satu tahun. Sehinggakan baru-baru ini ada beberapa negeri buat pertama kalinya beliau datang bersua bersama ahli peringkat cabang.

Melihat keadaan ini percayalah, AMK tidak akan boleh pergi lebih jauh sekiranya bersama Nik Nazmi. Tindakan beliau dalam AMK hanya menjadi ‘kudis’ dalam gerakan golongan muda melalui sayap PKR itu selain tidak mempunyai keupayaan untuk melonjakkan populariti dari segi karisma mahupun aura.

Untuk masa depan, mungkinkah AMK semakin baik untuk anak muda atau sekadar cukup ada sebagai syarat sayap PKR sahaja?