NGO Lapor Polis Status Facebook Lelaki ‘Tuai’ Remaja

24
0
KONGSI

Oleh : Wartawan MySuara

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki memuat naik status mengaku ‘menuai’ seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di Facebook mengundang kemarahan netizen, sehingga ada laporan polis dibuat terhadap lelaki terbabit.

Lelaki berkenaan dikatakan memuat naik gambar bersama seorang remaja lelaki dengan status beberapa hari lalu berbunyi ‘Dapat emergency call (panggilan kecemasan) dari budak ini. Minta balik Kuantan cepat. Maybe (mungkin) dia yakin dah boleh dituai kot. Yeahhh, tunggu abang,’ tulisnya.

Memetik laporan Berita Harian, status berkenaan menyebabkan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara, Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

Menurut Pengerusi Komuniti Harapan Kita Fazriysham Kamran, 35, beliau mendapat maklumat berhubung status itu melalui pengikutnya di sebuah laman Facebook ketika berada di rumahnya di Sri Damansara, Petaling Jaya kira-kira jam 10 pagi semalam.

Katanya, status dimuat naik lelaki terbabit meragukan apabila status itu dikongsikan di laman Facebook yang menggunakan nama ‘Group Anak Ikan’ yang dipercayai mengamalkan hubungan homoseksual (gay).

“Dalam status itu, ada unsur lucah, namun dalam unsur tersirat melalui perkataan ‘dituai’ yang membawa maksud hubungan seks. Adalah menjadi satu kesalahan apabila melakukan hubungan seks dengan seorang remaja apatah lagi kedua-duanya adalah lelaki.

“Tindakan itu seolah-olah melambangkan lelaki berkenaan adalah seorang pedofilia kerana menunjukkan minat untuk melakukan hubungan seks dengan individu bawah umur.

“Disebabkan itu, saya membuat laporan polis supaya tindakan sewajarnya diambil terhadap lelaki berkenaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Fazriysham berkata, hasil pemeriksaan dilakukan pihaknya mendapati status berkenaan sudah dipadamkan, malah akaun Facebook lelaki terbabit sudah ditutup.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.