New Zealand Haramkan Beg Plastik Mulai 2019

14
0

WELLINGTON: New Zealand muncul sebagai negara pertama hari ini yang mengharamkan penggunaan beg plastik mulai tahun depan, sebagai langkah mengurangkan pencemaran alam sekitar, kata Perdana Menteri Jacinta Ardern.

Negara itu selama ini menggunakan ratusan juta beg plastik setiap tahun dan kebanyakannya dibuang di dalam laut, sekali gus membahayakan kehidupan marin, kata Ardern.

“Kita perlu lebih bijak dalam menguruskan sisa buangan dan ini ialah langkah permulaan yang amat baik. Kita hentikan penggunaan beg plastik bagi membolehkan kita menjaga alam sekitar dan melindungi reputasi New Zealand sebagai negara hijau yang bersih,” katanya.

Menurut Ardern, kerajaan gabungan pimpinan beliau termasuk Parti Hijau berdepan cabaran alam sekitar dan seperti juga perubahan cuaca, mereka perlu mengambil langkah bermakna untuk mengurangkan pencemaran plastik supaya tidak membebankan generasi akan datang.

Beg plastik adalah antara benda paling kerap ditemui dibuang di sekitar pantai New Zealanf dan kumpulan alam sekitar, Greenpeace mengalu-alukan langkah mengharamkan penggunaan bahan berkenaan.

“Ini boleh menjadi langkah utama dalam mengurangkan pembuangan plastik di dalam laut serta langkah pertama yang penting untuk melindungi hidupan marin seperti penyu dan ikan paus,” kata Penyelaras Kempen Greenpeace Ocean, Emily Hunter.

Laporan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang disiarkan Jun lalu menyebut, lima trilion beg plastik digunakan di seluruh dunia setiap tahun atau hampir 10 juta beg plastik setiap minit. – AFP