Najib, Zahid Tiada Dalam Penentuan Nasib Muhyiddin – Annuar Musa

124
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak terlibat dalam perbincangan menggantung Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata Najib membuat keputusan untuk mengecualikan dirinya daripada perbincangan itu kerana beliau merasakan dirinya terbabit secara langsung dalam perkara itu.

“Presiden minta untuk tidak menyertai perbincangan (untuk gantung Muhyiddin) itu,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat UMNO.

“Presiden keluar. Zahid, iaitu (pemangku) timbalan presiden (selepas penggantungan) juga keluar.

“Keputusan dibuat secara sebulat suara oleh kami (ahli-ahli Majlis Tertinggi lain).”

Annuar berkata keputusan hari ini menunjukkan UMNO bersedia untuk melangkah ke hadapan dan menguatkan kedudukannya menghadapi pilihan raya akan datang.

Beliau berkata hukuman seperti ini bukan perkara baharu kerana bekas Timbalan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dipecat daripada parti itu pada 1998, dan pada 2008, bekas Presiden Tun Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan.

“Parti tidak boleh berfungsi sekiranya pemegang jawatan tidak melaksanakan tanggungjawab mereka seperti yang disyaratkan perlembagaan parti.”

Muhyiddin, dan Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal, yang dilaporkan sakit, tidak berada dalam perbincangan itu. – FMT