Najib Tolak Cadangan ‘Majlis Orang Lama’ Tun M

370
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Pembentukan sebuah majlis yang anggotanya tidak dipilih rakyat untuk menyelia seorang pemimpin tidak demokratik dan bercanggah dengan perlembagaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Sekiranya ada badan yang boleh mengawal seorang pemimpin yang dipilih, maka kita akan mula menyimpang daripada sistem demokrasi yang selama ini menjadi tunjang kepada keamanan dan pembangunan negara kita,” katanya.

Pengkritik lantangnya Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) kelmarin mengesahkan mencadangkan penubuhan sebuah “majlis orang lama bagi membimbing perdana menteri dalam menerajui kerajaan.

Katanya, sistem sekarang menyaksikan perdana menteri memilih pihak yang menyokongnya ke dalam kabinet menyebabkan beliau mudah mendapat persetujuan menteri-menteri.

Dalam blognya hari ini, Najib menegaskan Malaysia sebuah negara demokrasi dan pemimpin dalam badan eksekutif dipilih melalui pemilihan parti dan pilihan raya umum.

Kumpulan ini, tegasnya, memegang jawatan dalam kerajaan atas mandat rakyat yang memilih mereka.

Justeru, kata Najib, sebagai rakyat Malaysia tidak kira pangkat atau kedudukan kita perlu menjunjung keluhuran perlembagaan.

“Sebagai pemimpin, saya bertanggungjawab mempertahankan Rukun Negara ketiga ini dengan segala bidang kuasa saya,” katanya.