Najib Tak Faham Kesusahan Pelajar – PAS

137
0

KUALA LUMPUR: PAS mengalu-alukan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa yuran universiti tidak akan naik tetapi menganggapnya sebagai “tragedi” untuk menutup pelbagai kenaikan lain.

Malah, kata timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pelajar masih berdepan kenaikan lain termasuk harga buku, pengangkutan awam, makanan dan saman untuk kesalahan kampus.

“Kenyataan Najib itu memperlihatkan bahawa beliau kini terpisah daripada realiti kesusahan rakyat bawahan dan pelajar marhaen.

“Pengumuman tidak menaikkan yuran universiti tidak dapat menutup penarikan pelbagai subsidi daripada rakyat,” katanya.

Najib semalam berkata walaupun berlaku kenaikan lain seperti tol, yuran universiti harus kekal seperti sejak dahulu lagi.

Bercakap dalam Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2015 di ibu negara, beliau memberi jaminan kerajaan akan terus berbelanja untuk pembangunan modal insan dalam apa jua keadaan.

Dalam kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim berkata setakat ini, semua yang dijanjikan kerajaan tidak pun berlaku, seperti dalam kes cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Pengurangan subsidi juga tidak mengurangkan hutang negara yang kini mencecah RM623.3 bilion, kata PAS lagi.

“Menteri BN mengatakan Malaysia tidak akan bankrap, tapi jika BN terus memerintah nescaya ramai rakyat dan pelajar yang bankrap sebelum masanya,” katanya. – MK