Najib Sedang Selesaikan Masalah Yang Disebut Muhyiddin – Ku Nan

343
0

KUALA LUMPUR: Semua perkara yang dibangkitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada program ceramahnya di Kampung Baru telahpun cuba diselesaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Perdana Menteri cuba menyelesaikan masalah 1MDB dan dana RM2.6 billion sedikit demi sedikit.

“Pada saya perkara-perkara yang mereka utarakan itu semua perkara-perkara yang telah pun disebut berkali-kali, berulang kali dan sebenarnya Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO telah pun menyelesaikan separuh daripada masalah-masalah yang dibangkitkan,” katanya ketika ditemui di PWTC.

Tengku Adnan juga berkata, UMNO sangat kecewa dengan tindakan Muhyiddin yang meluahkan tidak puas hati kepada perkara sama berulang kali.

Muhyiddin membuat ucapan di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru selepas beliau tidak dibenarkan berucap merasmikan mesyuarat sayap-sayap parti sempena Perhimpunan Agung UMNO.

Dalam ucapannya, Muhyiddin menyerang Najib dan menggesa agar pihak yang membuat ‘nanah dan barah’ dalam parti perlu berundur.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut memberikan ucapan menghentam Najib di samping meneruskan desakan supaya Najib berundur.

Program itu menerima sambutan hebat dan turut dihadiri beberapa nama kontroversi termasuk Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Datuk A. Kadir Jasin, Anina Saadudin, Datuk Hamidah Osman dan Datuk Seri Shafie Apdal. – FMT