Najib Menteri Kewangan Paling Tidak Bertanggungjawab – Tony Pua

731
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Pemimpin DAP, Tony Pua melabelkan Datuk Seri Najib Razak sebagai “Menteri Kewangan paling tidak bertanggungjawab”.

Ini kerana, dakwanya, Najib tidak mengendahkan “banyak kesalahan” yang dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, Najib lebih berminat dalam retorik politik, buktinya ialah beliau lebih memfokuskan 1MDB tidak kehilangan RM42 bilion seperti yang didakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Hanya kerana seorang lelaki memetik angka salah untuk jumlah tabung yang tidak jelas, tidak bermakna tiada wang berbilion dolar yang telah hilang.

“Kami sudah mengesahkan sekurang-kurangnya USD5.5 bilion wang dan aset-aset 1MDB tidak boleh disahkan Ketua Audit Negara, selepas siasatan selama setahun,” kata Tony dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat DAP, hari ini.

Beliau mengulas Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB yang dibentangkan PAC semalam mendapati, struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan syarikat pelaburan strategik itu ‘kurang memuaskan’ yang menjurus kepada kelemahan tadbir urus.

Tony yang juga ahli PAC berkata, walaupun laporan itu tidak mengaitkan Najib dengan sebarang salah laku dalam pengurusan sayap pelaburan strategik kerajaan itu, Najib masih perlu memikul tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan.

Terdahulu, Tony dalam satu kenyataan menuntut penjelasan 1MDB mengenai keengganan syarikat itu menyerahkan penyata akaun bank luar negaranya dan anak-anak syarikatnya kepada Ketua Audit Negara dan PAC.

Ia selepas 1MDB mengecam dakwaan berhubung kehilangan RM42 bilion, dengan menjelaskan jumlah itu telah diambil kira, berdasarkan penyata kewanganya yang diserahkan kepada PAC.

Menurut Tony, PAC tidak pernah secara khusus menyatakan wang itu telah hilang.

Tony bagaimanapun mempersoalkan kenapa 1MDB tidak menerangkan di mana wang itu berada, jika mereka tersinggung dengan laporan Wall Street Journal.

“Kedegilan 1MDB dan penghinaan terhadap Ketua Audit Negara, selepas peringatan demi peringatan diberikan Ketua Audit Negara dan PAC hanya menguatkan lagi syak wasangka dunia bahawa sesungguhnya berbilion-bilion dolar telah hilang,” katanya.

1MDB, tambahnya, perlu “berhenti berlakon sebagai mangsa terhadap konspirasi dunia yang tidak wujud” terhadap syarikat itu, ketika ia mempunyai banyak peluang untuk membersihkan namanya sejak dua tahun lalu. – FMT