Najib Mahu 4 Hakim Kanan ‘Dikecualikan’

17
0

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini, memohon empat hakim kanan dikecualikan daripada mendengar permohonan semakan dalam rayuan kes saman dikemukakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan salah laku di pejabat awam.

Peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Najib, mempersoalkan komposisi empat hakim kanan terbabit dalam bantahan awalnya pada prosiding permohonan semakan kes rayuan itu di hadapan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan.

Empat hakim terbabit adalah Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah.

Mohd Hafarizam berkata, keempat-empat hakim itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Dr Mahathir selaku Perdana Menteri, yang juga adalah pemohon dalam permohonan semakan berkenaan.

Berikutan itu, katanya, mereka hendaklah dikecualikan kerana ia boleh menyebabkan persepsi kemungkinan berat sebelah.

“Oleh itu, bagi mengelakkan rasa malu ke atas Ketua Hakim Negara, kami dengan rendah diri memohon empat hakim ini dikecualikan daripada mendengar permohonan semakan ini,” katanya.

Peguam Dr Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, bagaimanapun berkata, isu berhubung komposisi hakim sudah dibangkitkan pihaknya ketika mengemukakan permohonan kebenaran merayu bagi mencabar keperlembagaan pelantikan semula Tun Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara.

Peguam itu berkata, pihaknya menyatakan perkara sama kepada panel Mahkamah Persekutuan dalam prosiding sebelum ini, yang mana Md Raus adalah pengerusi bagi panel terbabit.

“Ini membabitkan perkara yang sama. Pada ketika itu, permohonan kami ditolak. Komposisi panel pada hari ini bukan satu isu kerana membabitkan pelantikan oleh Perdana Menteri dan ia satu prosedur normal, berbanding permohonan kami mencabar kesahan Md Raus,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Haniff memohon supaya mahkamah menangguhkan prosiding, sementara mahkamah sama memutuskan persoalan definisi pegawai awam melalui permohonan dikemukakan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, bagi kebenaran merayu dalam kes saman difailkannya terhadap Najib.

Kes saman difailkan Pua itu adalah berhubung dakwaan Najib melakukan salah laku dalam jawatan awam membabitkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Mohamed Haniff berkata, pihaknya akan memohon untuk menjadi amicus curiae (sahabat mahkamah) dalam permohonan Pua kerana ia membabitkan isu sama.

Sementara itu, katanya, Peguam Negara, Tommy Thomas, berhasrat untuk turut serta dalam permohonan semakan hari ini berikutan Pejabat Peguam Negara (AGC) sering berurusan dengan penjawat awam.

“Tommy memaklumkan kepada saya pada Jumaat lalu dalam pertemuan di pejabatnya kerana mereka perlu tahu keputusan muktamad mengenai definisi pegawai awam.

“Bagaimanapun, perkara itu hanya diajukan secara lisan kerana kami tidak sempat menyerahkan dokumen lengkap kepada pihak AGC,” katanya.

Malanjum yang mengetuai panel tujuh hakim tidak memutuskan berhubung bantahan awal Mohd Hafarizam, bagaimanapun bersetuju menangguhkan prosiding pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Mahkamah Persekutuan pada 27 Februari lalu menolak permohonan Dr Mahathir dan bekas Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu kes saman mereka terhadap Najib berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam jawatan awam.