Najib Lulus RM78 Juta Bina PPR Di Kangar

26
0

KANGAR: Datuk Seri Najib Razak meluluskan peruntukkan RM78 juta bagi membina 500 unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Parlimen Kangar, di sini.

Projek PPR Kangar itu adalah tambahan kepada lapan projek untuk Perlis membabitkan peruntukkan lebih RM300 juta yang diluluskan sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan berupaya mengumumkan projek tambahan di negeri ini susulan keadaan ekonomi negara yang sedang berkembang pesat, ditambah aspek kewangan berada pada tahap yang mantap.

“Kewangan Malaysia begitu mantap dan hasil ekonomi kita juga sedang berkembang, maka saya nak umumkan projek yang kita sudah luluskan.

“Ia termasuklah projek baharu membabitkan 500 unit rumah PPR di Kangar dengan peruntukkan RM78 juta, dengan ini ketiga-tiga Parlimen di Perlis mempunyai PPR masing-masing,” katanya ketika berucap pada perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis dan Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Penjawat Awam di sini.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

UTC Perlis yang dibina dengan kos RM35.5 juta hanya mengambil masa selama 10 minggu untuk disiapkan sebelum mula beroperasi sejak Oktober 2017 lalu.

Pada majlis itu, Najib turut meluluskan peruntukkan tambahan RM500,000 bagi pembinaan surau awam, laluan berbumbung dan pagar di UTC Perlis.

Selain PPR Kangar, Najib sebelum ini turut meluluskan dua lagi projek sama membabitkan 500 unit PPR di Padang Besar dengan peruntukkan RM78 juta dan 400 unit PPR di Arau (RM62.4 juta).

Pada masa sama, Najib berkata, turut diluluskan kerajaan sebelum ini ialah pembinaan loji rawatan air (LRA) di Tasoh berkapasiti sebanyak 40 juta liter sehari membabitkan kos RM41 juta dan projek menangani air tidak terhasil dengan peruntukkan RM50.5 juta.

“Selain itu, kerajaan meluluskan projek pintu kawalan barrage air di Kuala Perlis membabitkan kos RM50 juta; terminal pengangkutan awam bersepadu di Serian (RM30 juta); Bazaria Padang Besar dan Bazaria Kangar membabitkan pembinaan premis perniagaan masing-masing kos sebanyak RM10 juta.

Sementara itu, Azlan berkata, pelbagai perancangan diluluskan kerajaan termasuk pembinaan UTC membuktikan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengenepikan Perlis, walaupun ia negeri paling kecil di Malaysia.

“Pembinaan UTC Perlis ini adalah bukti Perdana Menteri mahukan rakyat Perlis mendapat perkhidmatan kerajaan yang cekap dan terbaik dan kita mengucapkan terima kasih untuk itu, ” katanya.