Najib Lawat Hadi Di IJN

91
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkesempatan melawat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Menurut satu posting di laman Facebook rasmi beliau hari ini, Najib pada asalnya pergi ke IJN melawat bekas pegawai penerangannya Datuk Nasir Safar.

“Saya dimaklumkan ketika berada di IJN, Hadi juga sedang dirawat di situ dan turut menziarahi beliau.

“Saya doakan semoga beliau dikurniakan sebaik-baik kesihatan oleh Allah,” tulisnya yang turut memuat naik gambar daripada lawatan beliau itu.

Sebelum itu, Najib di laman Facebooknya memaklumkan beliau pergi ke IJN selepas selesai menjalani pemeriksaan susulan tangannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Saya ke HKL untuk pemeriksaan susulan tangan dan juga melawat mantan pegawai penerangan saya, Nasir, di Institut Jantung Negara. Mudah-mudahan beliau segera sembuh, Insya Allah,” katanya.

Posting sama turut dikongsi di laman Facebook rasmi pejabat perdana menteri, PMO Malaysia.

Pada 9 Januari, Najib selamat menjalani pembedahan kecil untuk membuang ketumbuhan benigna pada tangan kanannya di HKL.

Kenyataan HKL menyebut Najib menjalani pembedahan itu sebagai pesakit luar, dan kemudiannya pulang ke kediamannya untuk berehat.

Pada 2004, Najib pernah melawat Hadi ketika menjalani rawatan di sebuah hospital di Istanbul, Turki.