Najib, China Nafi Laporan WSJ Dakwa China Tawar Tebus 1MDB

16
0

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak dan China masing-masing menafikan laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa negara itu pada 2016 menawarkan untuk menebus 1MDB yang berdepan masalah kewangan sebagai sebagai balasan penganugerahan projek besar di Malaysia.

Menerusi hantaran di Facebook, Najib berkata China tidak pernah membuat tawaran sedemikian mahupun menawarkan untuk memasang peranti pengintip di rumah dan pejabat wartawan WSJ yang membuat laporan berkenaan skandal 1MDB, di Hong Kong.

“Seperti dilaporkan oleh WSJ dan diketahui ramai, ini (tawaran menyelamatkan 1MDB) juga tidak pernah berlaku.

“Malaysia terus berusaha dan berjanji menandatangani perjanjian penyelesaian dengan IPIC milik kerajaan Abu Dhabi untuk memastikan bahawa semua wang yang didakwa hilang dari 1MDB akan dikembalikan sebelum 31 Disember 2020,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berbeza, jurucakap kedutaan China di Kuala Lumpur berkata negara itu mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman di negara lain.

“China tidak pernah menyertakan syarat politik dalam kerjasama kami dengan negara lain.

“Kami mempromosikan Inisiatif ‘One Belt, One Road’ mengikut prinsip rundingan meluas, sumbangan bersama dan perkongsian manfaat, dengan matlamat ke arah pembangunan dan kemakmuran bersama.

“Kami tidak menerima sebarang tuduhan tidak berasas yang dibuat terhadap China,” kata kenyataan itu hari ini.

Pihak kedutaan juga menjelaskan China kekal komited untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi memperbaiki hubungan Malaysia-China.

Laporan Wall Street Journal (WSJ) memetik minit mesyuarat yang tidak didedahkan sebelum ini, menyebut China pada 2016 pernah menawarkan untuk menebus 1MDB yang menghadapi masalah kewangan sebagai balasan penganugerahan projek saliran paip bagi program ‘One Belt, One Road’.