Najib Akan Bincang Dengan Zahid Isu 1.5 Juta Pekerja Bangladesh

178
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berbincang dengan Timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung cadangan pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang telah mencetuskan kebimbangan banyak pihak.

Menurutnya, ia akan dilakukan sebaik sahaja beliau pulang ke tanah air.

“Saya fikir kami perlu memastikan apa juga langkah yang kami ambil, perlu memenuhi keperluan ekonomi. Beberapa sektor ekonomi memerlukan pekerja, seperti industri perladangan,” katanya pada akhir lawatan kerja seminggunya di Amerika Syarikat lapor Bernama.

Bagaimanapun, beliau menjamin kerajaan akan ambil perhatian menangani kebimbangan berhubung masalah sosial yang mungkin timbul daripada kemasukan pekerja asing dalam jumlah yang banyak.

Sementara itu, menurut laporan Daily Star (Bangladesh), Malaysia dan Bangladesh telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menerima 1.5 juta pekerja Bangladesh secara berperingkat dalam masa tiga tahun di bawah sistem G2G Plus iaitu antara kerajaan dengan kerajaan.

MoU itu ditandatangani antara Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot dan Menteri Ekspatriat, Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Nurul Islam di pejabat Ekspatriat Kebajikan Dhaka pada jam 10 pagi (12 tengah hari waktu Malaysia).