Munafik 2 Kutip RM30 Juta

27
0

KUALA LUMPUR: Selepas 10 hari tayangan, filem Munafik 2 terbitan Skop Productions dan President Productions meraih kutipan tiket RM30 juta.

Berkongsi berita gembira pada Instagram, pengarahnya, Syamsul Yusof mengucapkan terima kasih kepada penyokong karya terbaharunya itu yang dianggap memecahkan rekod sebagai filem Melayu terpantas meraih kutipan tiket tertinggi.

“Munafik 2 pecah rekod sebagai filem Melayu terpantas mendapat kutipan RM30 juta dalam tempoh 10 hari.

“Suatu fenomena luar biasa sinema Malaysia… Alhamdulillah dan terima kasih. Majulah industri filem Malaysia,” katanya.

Melalui sesi tayangan awal (sneak preview) pada 29 Ogos lalu, filem bergenre seram Islamik itu mengaut RM2 juta, sekali gus meleburkan rekod filem Hantu Kak Limah yang memperoleh RM650,000.

Munafik 2 yang juga filem ke-40 terbitan Skop Productions Sdn Bhd turut mencipta sejarah dengan meraih RM3.6 juta apabila ditayangkan secara rasmi, buat pertama kali.

Penerimaan ramai terhadap Munafik 2 dan Hantu Kak Limah, tambah Syamsul, membuktikan filem Melayu masih unggul untuk menarik peminat ke pawagam serta melakar sejarah di bumi sendiri.

Rata-rata peminat mengucapkan tahniah kepada pengarah terbabit dan menyifatkan Munafik 2 antara filem seram terbaik di Malaysia.

Munafik 2 dibintangi barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.

Filem ke-10 arahan Syamsul itu membabitkan kos sebanyak RM2.9 juta.

Filem Munafik yang ditayangkan pada tahun 2016 merekodkan kutipan keseluruhan sebanyak RM17 juta.