Muktamar PAS Bermula

7
0

KUALA TERENGGANU: Hari ini, bermulalah Muktamar Tahunan PAS Ke-64 yang dinanti-nanti, dengan Muktamar Dewan Ulama PAS menjadi pembuka tirai pagi ini di Hotel Permai, di sini.

Muktamar Dewan Pemuda PAS juga akan berlangsung bermula petang ini di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong, di sini, dengan muktamar selama empat hari ini dijangka menjadi yang paling panas dalam sejarah muktamar PAS.

Muktamar Ulama PAS pagi ini bakal dirasmikan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, manakala Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan membuka tirai mesyuarat perwakilan Pemuda Pas.

Lebih 10,000 orang dijangka menghadiri muktamar yang kemuncak acaranya iaitu Muktamar PAS Pusat akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, bermula Sabtu ini.

Muktamar Dewan Muslimat PAS pula akan bermula esok di Taman Tamadun Islam, di sini.

Muktamar kali ini dilaporkan bakal menjadi pencorak hala tuju parti berteraskan Islam itu dalam membentuk hubungan kerjasama dengan parti pembangkang termasuk UMNO yang menjadi seteru politik PAS selama ini.

Pastinya apa yang menjadi tumpuan ramai dalam muktamar kali ini ialah ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar PAS Pusat Sabtu ini, dalam mencatur apa yang diuar-uarkan sebagai kerjasama politik baharu itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara pemimpin parti pembangkang yang sudah mengesahkan untuk hadir dan secara ‘berdepan’ berpeluang mengikuti ucapan Abdul Hadi.