Mukhriz Tidak Bimbang Dipecat

330
0
KONGSI

KOTA BAHRU: Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak bimbang dengan desakan supaya beliau dipecat daripada Umno dan akan terus menghadiri jemputan daripada ahli-ahli parti untuk bercakap mengenai situasi politik semasa di negara ini.

Dalam satu ceramah di Bunuh Payong di sini pada Isnin, bekas menteri besar Kedah itu berkata beliau hanya menggunakan haknya untuk bersuara mengenai hal berkaitan parti.

Mukhriz berkata, Umno berada dalam keadaan tidak baik sehingga sampai satu tahap bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup duduk semeja dengan musuh politiknya, Lim Kit Siang untuk menandatangani Deklarasi Rakyat.

“Apa yang saya tidak faham adalah terdapat mereka yang masih buta terhadap fakta bahawa Umno kini berada di kedudukan tidak baik. Ia seperti sebuah rumah yang sedang terbakar tetapi mereka tidak peduli situasi itu demi untuk menyenangkan pemimpin tertentu.

“Saya tidak menentang Umno tetapi menentang presiden parti dan jika ini berterusan, saya fikir Umno dan Barisan Nasional akan menghadapi masalah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Umno perlu menggunakan kaedah yang betul dalam perlembagaan parti untuk memecat atau menggantung pemimpinya, tidak seperti apa yang berlaku kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di mana penggantungannya diputuskan segelintir pemimpin tertinggi.

Malah Mukhriz berkata gesaan untuk menyingkirkan bapanya sebagai Pengerusi Proton Berhad dan Yayasan Kepimpinan Perdana adalah bersifat dendam peribadi kerana beliau dipilih untuk menerajui institusi itu atas kapasiti sebagai bekas perdana menteri.