Mukhriz Nafi Terlibat Dalam ‘Team 5M’, Seru Perpaduan Dan Perhatian Untuk Kedah

262
0

Oleh: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Anggota Majlis Tertinggi UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menafikan beliau terlibat dalam kumpulan ‘Tim 5M’ yang dikatakan akan bertanding dalam pemilihan UMNO 2018.

Menurutnya lagi, kumpulan seumpama itu sebenarnya tidak wujud dan tidak menolak kemungkinan ia komplot pihak tertentu bagi memecahbelahkan UMNO.

“Saya baca (mengenai Tim 5M) dan terkejut dengan kenyataan tersebut. Sebenarnya ia tidak wujud pun. Saya tidak tahu dari mana datangnya (laporan)… maka boleh saya nyatakan bahawa saya bukan sebahagian daripadanya.”

Mukhriz sebaliknya menyeru perpaduan dan kesepakatan kepemimpinan tertinggi parti secara ikhlas kerana ahli dan rakyat bakal membuat keputusan dalam pilihanraya yang berbaki hanya dua tahun lagi.

“Kita selalu sebut tentang perpaduan dan kesepakatan tetapi mesti ada tujuan, niat dan matlamat. Ia datang daripada penjelasan yang diberikan oleh pucuk pimpinan dan idea-idea yang dicadangkan dari perbahasan.

“Perkara-perkara inilah yang kita datang nak dengar,” tambahnya yang ditemubual khas oleh MySuara sebaik tiba di Pusat Dagangan Dunia Putra untuk mengikuti Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang memasuki hari kedua.

“Hendak bersatu hati ini mesti ada satu unsur yang menyatukan. Unsur-unsur perpecahan itu ada banyak, di luar dan di dalam. Di kalangan orang Melayu itu sendiri pun agak berpecah,” tambahnya yang berharap semua pemimpin berusaha ke arah perpaduan yang tulin dan sejati.

Jelasnya lagi UMNO perlu menyelesaikan masalah-masalah dalaman supaya parti boleh bersiap sedia  untuk meyakinkan masyarakat di luar yang kini memerhatikan UMNO dengan lebih dekat dan cermat.

Menteri Besar Kedah itu juga turut meminta UMNO pusat dan kerajaan persekutuan untuk memberikan perhatian kepada negeri jelapang padi itu yang masih terpinggir dari arus pembangunan dan ekonomi.

“Kita sebuah negeri yang menongkah arus daripada kalah menjadi menang, daripada empat kerusi parlimen menjadi 10. Kita dapat rampas balik hati rakyat.

“Jadi rasanya Kedah berhak untuk menerima perhatian kerana kita hendak tunjukkan kepada rakyat mereka membuat keputusan yang tepat,” jelasnya yang kelihatan bersemangat dan ceria dengan baju Melayu berwarna hijau.