Mukhriz ADUN, Tak Boleh Jadi PM – Mahfuz

722
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: “Bagaimana Datuk Seri Mukhriz Mahathir mahu jadi Perdana Menteri sedangkan beliau hanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)?” soal Datuk Mahfuz Omar.

Pertanyaan sindiran itu dilontarkan Ahli Parlimen Pokok Sena itu susulan tuduhan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Mukhriz dijadikan Perdana Menteri.

Katanya, serangan terhadap bekas Perdana Menteri itu disifatkan sebagai tidak masuk akal dan bertujuan untuk membodek Datuk Seri Najib Razak.

“Semua tahu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, seseorang itu mesti dipilih daripada kalangan anggota Parlimen, bukan ADUN.

“Ini buat kenyataan memalukan orang yang ada ijazah doktor falsafah (PhD). Kenyataan Puad sudah macam tidak ketahuan hala dan tidak boleh membezakan antara Ahli Parlimen dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya di sini, hari ini.

Bekas Ketua Penerangan PAS itu menjelaskan, jika Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan Perdana Menteri, Mukhriz masih tidak boleh dilantik kerana beliau hanyalah seorang ADUN.

“Mukhriz atas sifat sebagai ADUN hanya boleh menjadi Menteri Besar atau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara untuk menjadi Menteri atau pun Timbalan Menteri sahaja. Kecualilah kalau bubar Parlimen dan Mukhriz bertanding kerusi Parlimen. Itu pun kalau menang.

“Jangan sampai pegawai JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas) bawah pun gelak dan jangan sampai Afdlin Shauki panggil buat skrin test (uji bakat) cari pelawak baharu,” katanya.