Muhyiddin Dihalang Tugas: Itu Hak Presiden – UMNO Selangor

304
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Walaupun tugas timbalan presiden Umno adalah membantu – dengan memberi pandangan serta nasihat – kepada presiden, namun penjawatnya tetap tertakluk kepada pertimbangan atasannya.

Dalam keadaan yang difikirkan sesuai, kata Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail, presiden berhak memberikan tugasan kepada timbalannya atau tidak.

“Sudah tentu presiden parti tidak akan memberikan tanggungjawab tersebut jika mendapati timbalannya itu tidak mampu melaksanakan tugas yang diberi.

“Memang dalam perlembagaan parti tugas timbalan presiden adalah membantu presiden. Bagaimanapun, ia terserah kepada presiden sama ada mahu memberikan peranan tersebut kepada beliau (timbalan) atau tidak,” katanya.

Pada majlis anjuran Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) di Taman Intan Duyung, Port Dickson Sabtu lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa beliau kini dihalang Datuk Seri Najib Razak daripada menjalankan tugasnya sebagai timbalan presiden Umno.

Ia adalah rentetan daripada penyingkirannya daripada jawatan dalam kerajaan, selain dihalang bercakap pada Perhimpunan Agung Umno 2015.

Muhyiddin berkata, beliau menerima tindakan Najib menggugurkannya daripada jawatan timbalan perdana menteri namun sebagai timbalan presiden parti, beliau masih perlu menjalankan amanah menasihati presiden Umno berdasarkan perlembagaan parti.

Zein Isma berkata jika Najib tidak memberikan tanggungjawab berkenaan kepada Muhyiddin ia bermakna presiden berpendapat timbalannya tidak sesuai melaksanakan tugasan berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Umno Subang itu menjelaskan sebenarnya Muhyiddin tidak pernah dihalang memberikan nasihat mengikut perlembagaan parti.

Sebaliknya, kata Zein Isma ahli parlimen Pagoh itu saja yang tidak mahu menggunakan kedudukan beliau dengan cara yang betul.

Malah, Zein Isma mandakwa kenyataan Muhyiddin bersifat tafsiran peribadi yang dipengaruhi rasa terkilan selepas digugurkan dari jawatan timbalan perdana menteri serta tidak dibenarkan berucap dalam perhimpuan agung Umno lalu.

“Ia bukan disekat, kerusi beliau masih ada. Ia (dihalang melakukan tugas) soal tafsiran beliau sebagai timbalan presiden.

“Soal perasmian ini bukan perkara termaktub dalam perlembagaan, ia amalan tradisi dan disesuaikan ikut keperluan semasa.

“Tetapi timbalan presiden boleh bersuara dalam majlis tertingi, namun beliau tidak menggunakan kesempatan itu,” katanya.

Kata Zein lagi, apa pun yang berlaku kini adalah bergantung kepada niat masing-masing.

Jika benar Muhyiddin sayang dan cintakan Umno, katanya, lebih baik bekas menteri besar Johor itu tidak menyulitkan lagi keadaan sebaliknya mencari penyelesaian terbaik.

“Cukuplah, jangan menyulitkan lagi keadaan dengan membuat tafsiaran yang boleh mengeruhkan suasana. Selesaikanlah melalui rundingan agar tidak lagi menyusahkan kita (Umno),” katanya. – MK