Muhammad Adib Beri Reaksi Positif

9
0

KUALA LUMPUR: Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim memberi reaksi positif selepas menukar sistem sokongan kepada mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru, pada Ahad lalu.

Jabatan Komunikasi Korporat Institut Jantung Negara (IJN), dalam satu kenyataan hari ini, menyebut jantung Muhammad Adib berfungsi dengan baik tanpa sokongan mesin.

“Paru-paru kiri mangsa menunjukkan tanda pemulihan awal. Dia tidak memerlukan begitu banyak bantuan oksigen dan alat ventilator sejak malam tadi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Muhammad Adib masih perlu menjalani rawatan dialisis di bahagian buah pinggang walaupun organ itu sudah bertambah baik.

“Muhammad Adib kini sedang menjalani rehabilitasi paru-paru. Dia juga didedahkan dengan senaman anggota badan bersama pegawai fisioterapi IJN,” katanya.

Terdahulu, NSTP melaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, yakin Muhammad Adib dapat melangsungkan perkahwinannya pada hujung bulan ini berikutan perkembangan positif tahap kesihatan mangsa dari semasa ke semasa.

Zuraida berkata, pihaknya percaya Muhammad Adib akan kembali bertenaga seperti anak muda berusia 24 tahun selepas melalui proses perubatan secara berterusan dikendali doktor berpengalaman.