Mufti Perlis Puji Putrajaya Bela Zakir Naik

29
0

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, tindakan kerajaan Malaysia membela pendakwah terkenal Dr Zakir Naik memang wajar dipuji.

Kenyataan itu dibuat ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengetepikan permohonan Pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia, P Waytha Moorthy dan 16 aktivis lain untuk mengisytiharkan Zakir sebagai ancaman keselamatan negara.

“Alhamdulillah, Dr Zakir Naik telah menang dalam semua kes mahkamah di peringkat antarabangsa dan di negara ini.

“Tuduhan pengganas terhadap beliau dinafikan semua mahkamah dan pengadilan di Barat, di negara asalnya dan di negara kita.

“Pihak yang mendukung Dr Zakir dalam kes ini – iaitu kerajaan Malaysia – hari ini telah melakukan tugas yang baik serta patut dipuji dan dibela,” kata Mohd Asri dalam Facebooknya.

Namun katanya Malaysia tetap bersikap terbuka dengan tindakan mereka itu berbanding kerajaan di negara lain.

“Betapa baiknya Malaysia. Mereka boleh bawa kes yang memusuhi umat Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini.

“Di India, Myanmar dan seumpamanya, umat Islam dibunuh tanpa ada mahkamah yang boleh membela,” katanya.

Beliau juga menegaskan umat Islam perlu sedar bahawa memang ada pihak tertentu yang inginkan kemusnahan penganut agama itu tanpa mempedulikan budi baik yang berikan negara ini.

Pada 1 Mac tahun lalu, sekumpulan akitivis memfailkan saman pemula untuk memaksa pihak berkuasa Malaysia menangkap dan mengusir zakir atas alasan dia menjadi ancaman terhadap keselamatan negara dan harus dilarang daripada memasuki Malaysia.

Bagaimanapun, pada 20 September 2017, mereka memfailkan permohonan untuk meminda saman pemula itu dengan menggugurkan permohonan supaya pendakwah itu ditangkap dan diusir.

Mereka sebaliknya memohon pengisytiharaan bahawa Zakir menjadi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam negara ini dan oleh itu tidak berhak mendapat status pemastautin tetap (PR) di Malaysia.

Zakir turut didakwa menggalakkan keganasan, dihalang memasuki beberapa negara kerana disyaki bekerjasama dengan beberapa kumpulan pengganas selain memberi dorongan kepada warga asing yang berada di negara ini untuk mengganggu ketenteraman awam.