MTUC Kecewa Petronas Hentikan Pekerja

153
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) melahirkan rasa kecewa dengan pengumuman Kumpulan Petronas yang mahu menghentikan perkhidmatan hampir 1,000 pekerjanya.

Setiausaha Agungnya N Gopal Kishnam mendakwa, pekerja syarikat minyak dan gas itu telah menjadi ‘kambing hitam’ ekoran komitmen Petronas terhadap kerajaan.

Katanya, sebagai sebuah syarikat global Petronas perlu menimbang semula keputusan untuk mengurangkan pekerjanya.

Syarikat itu juga sepatutnya perlu memikirkan strategi lain seperti memotong gaji berbanding membuang pekerja, kata Gopal lagi.

“Syarikat itu perlu mengambil kira perbelanjaan operasi dan pengurusan yang lain kerana negara memerlukan pekerja berpengalaman dalam jangka masa panjang,” kata Gopal dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Sehubungan itu, MTUC mengingatkan kepada mana-mana majikan serta organisasi lain untuk tidak mengambil jalan keluar yang mudah ekoran kelembapan ekonomi semasa dengan mengurangkan pekerja mereka.

Katanya pihaknya tidak mahu majikan menggunakan senario semasa sebagai alasan untuk membebankan pekerja.

Semalam, dalam usaha untuk terus berdaya saing ketika harga minyak mentah terus menjunam, Petronas mengumumkan untuk menghentikan perkhidmatan hampir 1,000 pekerja bawah rancangan penstrukturan semula.

Dalam satu kenyataan Petronas, rancangan penstrukturan semula itu dibuat bagi menempatkan semula pekerja yang terlibat serta memulakan proses pemisahan bagi pekerja seperti yang diperlukan dan dijangka selesai dalam tempoh enam bulan akan datang.

Mengikut laporan tahunan 2014, Petronas menggaji sejumlah 50,949 pekerja.

Penyusunan semula itu dibuat hanya beberapa bulan selepas Shell Malaysia mengumumkan langkah pengurangan pekerjanya.

Pada 30 September lalu, Shell mengumumkan bahawa ia akan menamatkan perkhidmatan 1,300 pekerja daripada jumlah 6,500 yang berkhidmat dengan syarikat itu. – MK