Mitos Dan Persepsi

666
0
SHAH ALAM 07 JANUARI 2018. Pengerusi Parti Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di IDCC . NSTP/ HAFIZ SOHAIMI

Oleh: AZMAN HUSSIN

BERTANYA dan mempersoalkan adalah lebih mudah daripada menjawab dan menerangkan sesuatu isu.

Misalnya, benarkah anda mencuri?

Pertanyaan dan persoalan yang tidak dijawab akan memberi kesimpulan kepada orang ramai bahawa anda di pihak yang salah.

Tetapi bagaimana jika sesuatu soalan itu sudah dijawab, tetapi ia tetap ditanya?

Begitulah kompleksnya kerajaan melawan propaganda dan perang saraf yang diatur oleh pembangkang.

Mereka bertanya bukan kerana mahukan jawapan, sebaliknya untuk mempersoalkan. Mereka bertanya untuk mencetuskan ketidakpercayaan orang ramai kepada kerajaan.

Dijawab berpuluh-puluh kali pun, ia tidak menyelesaikan masalah kerana mereka tidak mahukan jawapan. Mereka bertanya untuk mempertikaikan. Mereka mahu membentuk persepsi dalam minda orang ramai bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam sesuatu isu itu.

Orang ramai pula tidak akan memerhatikan jawapan tersebut, melainkan cenderung kepada mempercayai pembangkang.

Sekiranya anda memerhatikan di laman sosial, perkara-perkara yang bohong dan fitnah telah dianggap benar kerana ia selalu diulang-ulang.

Berapa ramai dalam kalangan masyarakat hari ini yang mempercayai Datin Sri Rosmah menabung sejak kecil lagi untuk membeli kalung permata? Walhal ia adalah berita palsu. Isteri Perdana Menteri tidak pernah pun berkata begitu.

Maklumat telah dipesongkan. Pertanyaan telah menjadi pernyataan.

Berapa ramai yang sebenarnya mengambil tahu secara menyeluruh isu-isu poitik yang dibangkitkan? Tidak ramai. Mereka hanya mendengar cakap-cakap dan gosip orang lain.

Saya katakan tidak ramai apabila melihat apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Apabila ditanya kepada mereka, apa yang zalimnya kerajaan sehingga ia perlu ditukar, mereka hanya tahu menjawab secara umum bahawa isu 1MDB, sebagai contoh.

Jika mereka benar-benar ambil tahu, mereka akan tahu berkenaan 1MDB kerana ia telah diterangkan berkali-kali keadaan sebenarnya. Sebaliknya isu ini dalam minda orang ramai adalah bukti betapa korupnya kerajaan. Kenapa ia jadi begitu? Kerana pembangkang terus mempersoalkannya seolah-olah ia adalah perkara yang teruk.

Bayangkan dalam isu-isu yang lain jika orang ramai hanya mendengar cakap-cakap pembangkang ini tanpa mendalaminya.

Ambil satu lagi contoh berkenaan cukai, iaitu SST dan GST. SST adalah 10% dan GST adalah 6%. Yang bukan pakar matemati pun tahu mana yang lebih tinggi.

Jadi, kenapa harga barang menjadi lebih mahal selepas GST diperkenalkan?

Orang yang waras akan tahu, GST sepatutnya akan menjadikan harga barang akan turun sebanyak 4%. Jadi apabila harga barang-barang meningkat, ia bukanlah salah GST, tetapi salah peniaga (pengilang, pemborong, atau pengedar) yang mengambil kesempatan menaikkan harga atas kebodohan anda.

Semua orang patut tahu hal ini, tetapi malangnya ia dipersalahkan kepada GST.

Dalam keadaan ini, orang ramai sebenarnya telah dimanipulasi walaupun hakikat sebenarnya adalah jelas, sejelas 6% lebih rendah daripada 10%. Kenapa ia terjadi begini? Kerana kita mudah mempercayai sesuatu tanpa mengkajinya. Kita mempercayai dakyah pembangkang bahawa GST akan menaikkan harga barang-barang, walhal ia sebaliknya.

Kemudian, apabila kita menjelaskan perkara-perkara seperti ini , mereka akan menuduh secara umum lagi bahawa kerajaan mencuri duit rakyat, isteri Perdana menteri boros dan mencatur negara.

Sebenarnya ia hanyalah persepsi yang kemudiannya menjadi mitos. Tidak ada sesiapa yang dapat membuktikan perkara itu secara jelas, melainkan ia hanya tanggapan.

Orang ramai akan menjadi seperti lembu yang dicucuk hidungnya jika hanya mendengar bulat-bulat dakwaan pembangkang.

Sebaliknya, orang ramai perlu ketahui bahawa pembangkang memiliki kepentingan-kepentingan peribadi mereka sendiri apabila menceritakan perkara-perkara buruk itu, iaitu mereka mahu menggantikan kerajaan.

Jadi, apabila mempercayai pembangkang tanpa mengkaji tentulah ia suatu tindakan yang tidak rasional. Kita mengetahui pembangkang mahu menukar kerajaan, sudah tentulah mereka tidak akan bercakap perkara yang baik tentang kerajaan. Mereka pastilah akan bercakap perkara-perkara yang negatif berkenaan kerajaan.

Dan anda pula mempercayainya sebagai benar sehingga anda tidak memikirkan kelogikannya. Hal ini akan menyebabkan orang ramai akan mudah dieksploitasi mindanya.

Percayalah, rakyat Malaysia hari ini sebenarnya hidup dalam persepsi dan mitos. Mereka bercakap perkara-perkara yang mereka sendiri tidak tahu dengan jelas. Ia seperti cerita-cerita mitos yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Ia dipercayai walaupun tidak diketahui kebenarannya.

Benar, ada antara mereka hidup dalam ketakutkan secara psikologi. Mereka takut negara mereka digadai, mereka takut mereka perlu menanggung hutang negara, mereka takut negara bankrap, mereka takut anak-cucu mereka hidup merempat. Malah pelbagai lagi ketakutan yang tidak berasas.

Memanglah, perkara ini perlu difikirkan.

Masalahnya, ia bukan masalah yang sebenar. Perkara ini tidak berlaku. Sebaliknya, ketakutan-ketakutan inilah yang bakal menjerumuskan negara ke arah itu.

Sebagai contoh, berapa ramai orang pernah bertemu hantu?

Tidak ada orang yang pernah bertemu pontianak, tetapi berapa ramai orang yang mempercayai kewujudan dan takut padanya?

Kenapa ia dipercayai? Sebab ramai orang bercakap mengenainya.

Begitulah hari ini, orang ramai hidup dalam kenyataan-kenyataan palsu yang dicetuskan oleh pembangkang.

Ramai orang bercakap dan bertanya berkenaannya bukanlah suatu bukti bahawa perkara itu benar.

Seperti hari ini, ramai yang menyatakan kezaliman kerajaan. Tetapi, cuba tanya, apakah kezaliman-kezaliman kerajaan itu? Bandingkan pula keadaan negara ini dengan keadaan negara-negara lain.

Tentu tidak ada sesiapa yang dapat menjawabnya secara jelas. Kenapa? Kerana orang ramai tidak dizalimi. Ia hanya persepsi yang dicipta oleh pihak pembangkang yang mahu menjatuhkan kerajaan. Mereka tidak mengalami kezaliman atau penindasan seperti yang digambarkan.

Realistiklah, dan jangan hidup dalam ilusi-ilusi ciptaan yang akan menyebabkan hidup anda dimanipulasi.

Apa yang orang ramai perlu sedari, agar mereka duduk di tempat yang betul untuk menghakimi sesuatu perkara dengan betul, adalah fakta bahawa pembangkang mahu menggantikan kerajaan.  Jika anda duduk di situ, anda akan mulai memahami realiti percaturan politik negara hari ini.

Jika tidak, anda hanya akan menjadi mangsa percaturan politik, yang tidak membawa kebaikan kepada anda dan negara.

Hiduplah dalam realiti.