Mesyuarat Mingguan Kabinet Persekutuan Di Kuching Hari Ini

211
0

KUCHING: Di tengah-tengah kerancakan pilihan raya negeri Sarawak, mesyuarat mingguan Kabinet persekutuan diadakan di Wisma Bapa Malaysia, ibu pejabat pentadbiran kerajaan negeri, di sini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di bangunan setinggi 22 tingkat itu, yang dinamakan bersempena Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam berkata perubahan tempat mesyuarat itu untuk menunjukkan sokongan terhadap kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat berkenaan telah dicadangkan Najib kerana beliau merasakan bahawa beliau perlu berada di sini dan beliau ingin mendapatkan komitmen daripada setiap menteri Kabinet.

“Mesyuarat Kabinet esok (Rabu) adalah untuk menunjukkan komitmen dan sokongan moral kami terhadap kepimpinan kerajaan negeri. Ia juga bagi menterjemahkan sokongan kami kepada Adenan dan juga visi beliau.

“Dengan sokongan daripada kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib, kita berada di sini untuk bersama-sama dengan rakyat Sarawak,” kata Zahid semalam. Kali terakhir mesyuarat Kabinet diadakan di luar Putrajaya ialah di Kuantan pada 2011.