‘Mesti Dua Kali Sebulan’ – Ahmad Maslan

53
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Penerangan Umno bahagian dikehendaki mengadakan ceramah dan kupasan mengenai Bajet 2016 sekurang-kurangnya dua kali setiap bulan.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata untuk itu, ketua penerangan Umno bahagian, puteri, wanita dan pemuda di peringkat bahagian perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memberi penjelasan tentang Bajet 2016 agar ia dapat difahami semua lapisan masyarakat.

“Semuanya (mengenai bajet 2016) ada dalam surat khabar hari ini, tetapi tidak semua yang membaca dan memahami apakah tema ‘Mensejahterakan Kehidupan Rakyat’ dalam Bajet 2016. Maka itulah peranan penceramah-penceramah ini dalam memberi kupasan dan pemahaman kepada rakyat.

“Sebagai contoh, rakyat rasa gelisah bila GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dilaksanakan, tapi rupa-rupanya GST menjadi penyelamat kepada kewangan negara. Jadi kupasan secara terperinci sebegitu perlu diterangkan kepada rakyat di peringkat bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pertandingan Pidato Umno peringkat Zon Timur di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Ahmad berkata pihaknya mempunyai peruntukan untuk mengadakan ceramah kupasan bajet 2016 dan ia akan berkuat kuasa secepat mungkin. – MKINI