Menyelamatkan Institusi Bahasa Dan Sastera

46
0

Oleh: S.M. Zakir

Suara dan tuntutan untuk melihat kembali Syarikat Berkaitan Kerajaan (SBK) atau GLC dan GLIC, yang dikatakan banyak dimanipulasi dan mempunyai kepincangan dalam pengurusan, menjadi petanda akan berlakunya perubahan besar terhadap sistem dan corak pengurusannya di tangan kerajaan baharu hari ini. Perhatian dan pelaksanaan agenda baharu turut melibatkan perubahan polisi terhadap semua agensi kerajaan yang lain. Polisi baharu menyaksikan arahan untuk mengecilkan saiz agensi kerajaan melalui langkah penggabungan ataupun penutupan. Pelaksanaan polisi ini melihat kepada agensi yang mempunyai pertindihan fungsi, atau kurang berfungsi dalam bidang keberhasilan utama.

Selain daripada pelaksanaan terhadap badan dan agensi berkaitan ekonomi, badan dan agensi berkaitan bidang lain turut menerima kesan. Antaranya ialah institusi bahasa dan sastera. Hampir semua institusi bahasa dan sastera berada di bawah Kementerian Pendidikan seperti badan berkanun Dewan Bahasa dan Pustaka, serta SBK seperti Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan Perbadanan Kota Buku Malaysia, serta agensi dalam Kementerian seperti Majlis Buku Malaysia. Selain itu terdapat badan bukan kerajaan yang bersinergi dengan institusi bahasa dan sastera seperti pertubuhan yang berperanan dalam industri buku Malaysia iaitu Persatuan Penerbit Buku Malaysia serta persatuan penulis GAPENA dan PENA.

Usaha kerajaan untuk melakukan penambahanbaikan malah perubahan terhadap tadbir urus dalam mengoptimumkan perbelanjaan negara adalah sesuatu yang baik. Walaubagaimanapun bukan semua keputusan harus dibuat berdasarkan pertimbangan untung rugi, dan perolehan kewangan. Bagi institusi pelaburan dan berkaitan tadbir urus korporat sememang neraca timbangannya adalah soal untung rugi. Namun bagi institusi budaya merangkumi institusi bahasa dan sastera, tentulah pertimbangan bukan kepada neraca untung rugi kewangan tetapi sebaliknya kepada soal pembinaan sahsiah bangsa yang utuh berkeperibadian.

Taiwan adalah antara empat negara yang disebut sebagai harimau Asia, dari segi penampilannya sebagai jaguh ekonomi Asia Timur. Sektor korporat, industri, kewangan serta teknologi pasaran baharu adalah keutamaan dalam kehidupan seharian di Taiwan. Ia menjadi sebuah negara moden berteraskan pasaran bebas dan kapitalistik. Namun dalam suasana pengejaran kejayaan ekonomi serta teknologi maju, Taiwan tidak pernah lupa bahkan membangun institusi bahasa dan sasteranya seiring dengan kemajuan materialnya. Taiwan mempunyai muzium sastera yang besar di Tainan, dengan kompleks dan bangunan sebesar muzium negara di Malaysia. Dalam pada itu Taiwan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah muzium sastera di setiap wilayahnya.

Seiring dengan itu, Taiwan berlumba dengan China untuk menjadi hab kepada perkembangan bahasa Mandarin di dunia. Dalam konteks dunia sastera, Taiwan membangunkan insfrastruktur dan fasiliti untuk menjadikannya sebagai pusat atau setidak-tidaknya hub bagi diaspora sastera Mandarin dunia. Pembangunan bahasa dan sastera di Taiwan dilakukan secara serius dan memperuntukkan pembiayaan yang besar daripada pihak kerajaan. Ini termasuklah membangun dan menyelenggara premis-premis bahasa dan sastera yang menjadi pusat
kegiatan budaya. Bangunan-bangunan binaan Jepun iaitu yang didirikan pada era kolonial Jepun dibaikpulih dan dijadikan muzium serta salon sastera yang cukup unik dan indah.

Sebenarnya apa yang dilakukan itu atas kesedaran untuk membina sahsiah yang berasaskan keperibadian Taiwan yang khusus dan tersendiri. Taiwan mahu mempunyai diri mereka sendiri tanpa dibayangi rupa peribadi China. Lantaran itu bahasa dan sastera dilihat sebagai pembentuk kepada rupa peribadi Taiwan yang tersendiri. Dalam membangunkan bahasa dan sastera dengan secara bersungguh-sungguh, secara tidak langsung telah menjadikan sastera sebagai komoditi di Taiwan. Muzium dan salon sastera di Taiwan turut menjadi premis
pelancongan di Taiwan, yang menarik pengunjung dari dalam dan luar negara. Sekaligus ia menjana pendapatan yang agak besar, ditambah dengan industri yang berkaitan dengannya termasuk juga penerbitan dan penterjemahan buku sastera.

Di Malaysia hari ini, terdapat kebimbangan daripada kalangan warga budaya dan sastera terhadap kedudukan institusi bahasa dan sastera terutamanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Ura-ura kerajaan untuk mengecil saiz agensi kementerian dengan menggabung dan menutup agensi yang sedia ada atas alasan pertindihan fungsi dan mengurangkan perbelanjaan, dijangka turut menempias kepada agensi kementerian yang melibatkan institusi bahasa dan sastera. Sepertimana yang diketahui institusi bahasa dan sastera sememang ditubuhkan bukan di atas dasar menjana keuntungan material, tetapi sebaliknya di atas peranan membina sahsiah dan keperibadian negara.

DBP adalah sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab ke atas bahasa kebangsaan dan sastera kebangsaan sekaligus menjaga kepentingan Perlembagaan terhadap peruntukan bahasa kebangsaan. Sementara ITBM yang pada asalnya dibawa keluar dari DBP untuk berdiri sendiri sebagai syarikat berkaitan kerajaan (SBK) dengan fungsi awalnya sebagai intitusi penterjemahan. Namun fungsi ITBM diperluaskan untuk menggerakkan bahasa dan sastera kebangsaan secara lebih dinamik dan masuk ke dalam dunia industri, sekaligus memberikan nilai tambah kepada bahasa dan sastera kebangsaan. Sebagai sebuah syarikat SBK, ITBM dilihat mempunyai medan yang berbeza dalam mempromosi dan menghidupkan bahasa serta sastera kebangsaan.

Dapat dilihat dengan jelas bahawa fungsi DBP sebagai badan berkanun adalah institusi rasmi dalam melaksanakan peruntukan Perlembagaan Malaysia terhadap bahasa dan sastera kebangsaan. Sementara ITBM adalah syarikat SBK yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 berfungsi untuk membangunkan bahasa dan sastera kebangsaan dalam konteks dunia industri. Kedua-dua fungsi dan matlamat DBP dan ITBM adalah berbeza, walaupun ia berdiri di dalam pengisian bahasa dan sastera kebangsaan. Konteks fungsi dan matlamat yang berbeza ini membuatkan kedua-dua badan atau agensi ini perlu wujud sebagai entiti yang terpisah. Hal ini bukan sahaja dapat memberikan fokus yang lebih jaya dalam mencapai matlamat masing-masing tetapi juga dapat memperkukuhkan antara satu sama lain dalam melestarikan cita Perlembagaan.

Perkara ini ditimbulkan di atas kekhuatiran terhadap kemungkinan ITBM diserap ke dalam DBP atau berlakunya sesuatu yang lebih menakutkan (warga sastera) daripada itu. ITBM telah menjalankan fungsinya dengan baik, dan sehingga hari menjadi tempat bergantung begitu ramai penulis untuk menerbitkan buku dan menerima hasil pendapatan daripada penulisan mereka. Ia bukan sahaja telah menghidupkan industri buku tetapi juga menjana kepada pembangunan ekonomi yakni kuasa beli dalam memberikan pendapatan kepada para penulis. Adalah sesuatu yang menyedihkan jika berlaku sesuatu terhadap ITBM akibat daripada polisi tadbir urus dan penjimatan perbelanjaan kerajaan hari ini.

Apa yang penting untuk dilihat ialah berlakunya penghapusan institusi bahasa dan sastera kebangsaan secara tidak langsung, sekaligus memperlihatkan kepincangan dalam pembangunan sahsiah dan keperibadian negara. Apa yang wajar dilakukan ialah menambah banyak institusi bahasa dan sastera sebagaimana di Taiwan yang mempunyai banyak agensi yang berlainan fungsi dalam membangunkan bahasa dan sasetra kebangsaan mereka. Sebaliknya di Malaysia, institusi bahasa dan sastera adalah antara agensi yang ingin dikurangkan malah kemungkinan ditiadakan. Ini adalah sesuatu yang malang dan perlu diberi perhatian serius. Apa yang wajar dilakukan oleh kerajaan ialah mempertahankan dan menyelamatkan institusi bahasa dan sastera. Ini amat penting sekali dalam memperlihatkan keyakinan kerajaan terhadap bahasa dan sastera yang boleh membawa jalan yang harmoni kepada pembinaan masyarakat Malaysia baharu.