Menteri Kewangan Indonesia Menteri Terbaik Di Dunia

23
0
KONGSI

DUBAI: Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati menerima Anugerah Menteri Terbaik di Dunia dalam Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia di Dubai semalam.

Anugerah itu disampaikan sebagai mengiktiraf sumbangan tokoh wanita 55 tahun itu dalam melaksanakan pembaharuan di republik itu.

Anugerah yang dinilai secara bebas oleh firma perunding antarabangsa Ernst & Young itu disampaikan oleh Emir Dubai Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum yang juga naib presiden dan perdana menteri Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Berkongsi kejayaan itu di Facebook, Sri Mulyani berkata beliau mendedikasikan anugerah itu kepada pemerintah bawah pimpinan Presiden Joko Widodo dan 257 juta rakyat Indonesia serta 78,164 kakitangan Kementerian Kewangan.

Katanya, mereka telah bekerja keras mentadbir kewangan Indonesia dengan penuh amanah dan iltizam tinggi.

“Berbagai upaya reformasi dasar telah dicanangkan di Kementerian Kewangan, bertujuan untuk mendorong dasar fiskal menuju pembangunan terangkum dan berterusan.

“Reformasi birokasi di Kementerian Kewangan juga sudah membuahkan banyak hasil,” katanya.