Mendepani Zaman Pasca-Kebenaran

106
0

Oleh: S.M. Zakir

Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar dibentang dan (akan) dibahaskan di Parlimen bagi menyekat penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa. RUU ini dalam Fasal 4 (1) memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan membuat dan menyebarkan berita tidak benar. Menurut Fasal 2 dalam RUU ini, berita tidak benar ditakrifkan sebagai apa-apa berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau keseluruhannya palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Penerbitan yang dimaksudkan dalam RUU ini, termasuk apa-apa penerbitan bertulis serta setiap salinan dan penghasilan semula, serta dihasilkan secara digital, elektronik, magnetik atau mekanikal dan replikasi penerbitan terbabit. Pihak yang menyediakan bantuan kewangan dalam penyebaran berita tidak benar boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun, manakala pihak yang memiliki berita tidak benar namun tidak menghapuskannya boleh didenda sehingga RM100,000.

RUU ini turut merangkumi kesalahan sama yang dilakukan pertubuhan perbadanan, dengan pihak seperti pengarah, ketua pegawai eksekutif, pengurus atau seumpamanya, boleh dihadapkan ke mahkamah. Mahkamah juga boleh memerintahkan penerbitan berita tidak benar itu dihapuskan jika dipohon oleh pihak yang disentuh dalam berita terbabit. Usaha menangani berita palsu dalam zaman yang dikatakan sebagai zaman pasca-kebenaran (post-truth) ini sebenarnya telah dilakukan di Eropah seperti di Perancis, dan juga di China, Turki dan Iran. Di Asia Tenggara, Filipina juga telah menggubal RUU bagi menangani berita palsu dengan Anti-Fake News Bill 2017. Sementara Singapura telah menubuhkan jawatankuasa untuk melihat dan menangani berita palsu ini secara lebih konkrit dan serius.

Sentimen yang tular sekarang melihat RUU ini sebagai tindakan untuk melindungi dan memberi keuntungan kepada satu pihak. Sehingga RUU ini dilihat seolah-olah satu langkah yang berasaskan kepentingan politik kepartian semata-mata. Malah ia dispekulasikan sebagai satu lagi undang-undang kuku besi atau draconian yang menindas rakyat dengan menutup ruang untuk bersuara. Lebih daripada ia dinyatabenarkan ialah usaha untuk menutup beberapa skandal besar yang berlaku sekarang.

Sentimen, prejudis dan spekulasi ini ternyata tidak melihat jauh dan terperangkap dengan isu jangka pendek. Jika dilihat secara objektif dari segi jangka panjang, RUU ini sebenarnya tidak akan melepaskan sesiapa dari pihak mana sekalipun. Mungkin hari ini ia dilihat sebagai memberi keuntungan kepada satu pihak, tetapi pada masa hadapan ia mungkin dapat menyelamat atau menghapuskan aib pihak yang begitu bersungguh-sungguh menentang pelaksanaan RUU ini, dan malah boleh menghukum ahli daripada pihak yang memperkenal RUU ini sekalipun.

Fasal-fasal yang terdapat dalam RUU ini, jika dilihat dan dikaji dengan teliti tidak akan menguntungkan mana-mana pihak yang terlibat menyebarkan berita palsu. Malah setiap pihak sebenarnya boleh terlibat menyebarkan berita palsu secara sengaja atau tidak. Maka itu mana-mana pihak boleh sahaja terperangkap di bawah akta ini. Sentimen yang memprojeksikan seolah-olah kebebasan bersuara rakyat dalam bahaya oleh adanya RUU ini, terperangkap dalam pandangan bersifat jangka pendek. Sedangkan dalam jangka panjang,ia memberikan dimensi yang berbeza.

Pada hakikatnya tidak ada apa yang perlu ditakut dan digerunkan dengan RUU ini. Dalam jangka panjang, RUU ini akan mendidik ahli politik, rakyat dan mana-mana pihak pun untuk lebih bertanggungjawab dalam setiap apa yang diucap dan disebarkan terutamanya dalam media sosial. Setiap pihak akan sangat berhati-hati dengan berita dan maklumat sebaran mereka. Setiap sebaran akan lebih bertanggungjawab dan berasaskan fakta yang dapat dibuktikan. Maka setiap maklumat di media perlahan-lahan akan menjadi fakta-fakta yang betul, dan bukan lagi ‘sampah’ yang berlonggok dan berlambak menjadi virus sosial.

Di Amerika Syarikat, tempat lahirnya revolusi teknologi maklumat yang mencambahkan dunia jaringan maya telah melihat kehadiran era pasca-kebenaran (post-truth) ini sebagai mimpi ngeri yang sedang menghancurkan integriti masyarakat secara keseluruhannya. Matthew d’ Ancona dalam bukunya Post-Truth: The New War on Truth and How to Fight Back melihat kehadiran era pasca-kebenaran sebagai era yang mengaburkan antara realiti dan bukan realiti sehingga manusia tidak dapat membezakan lagi antara kenyataan dan bukan kenyataan. Malah lebih berbahaya lagi apabila kepalsuan telah dipercayai sebagai kebenaran, dan kebenaran dipercayai sebagai sebagai kepalsuan.

Kesannya telah dilihat iaitu Brexit dan kemenangan Trump, yang dianggap mengembalikan Barat pada zaman pra-pencerahan. Kedua-dua fenomena ini memperlihatkan keputusan besar bukan lagi berasaskan fakta dan rasionalisasi tetapi adalah berasaskan sentimen dan prasangka yang dibangunkan sebagai raksasa bebal daripada longgokan dan lambakan berita serta maklumat palsu dalam media sosial. Gejala pasca-kebenaran ini telah memusnahkan sama sekali nilai pencerahan, sebaliknya membangunkan semacam kegirangan bersifat populis (mereka-reka fiksyen untuk meledakkan populariti) melalui rekaan-rekaan berita yang sensasi dan menggemparkan.

Sementara Ralph Keyes pula dalam bukunya The Post-Truth Era: Dishonesty and Deception in Contemporary Life menuliskan bahawa dahulu kita mempunyai dua hal yang jelas iaitu benar dan palsu. Tetapi dalam era pasca-kebenaran hari ini benar, palsu dan nyata bergumpal bersama sehingga dapat lagi dikesan lagi apakah yang benar dan yang palsu, serta yang nyata. Sempadan antara benar dan palsu mengabur, malah juga antara jujur dan bohong, fakta dan fiktif. Menurut Keyes, kajian menunjukkan purata rakyat Amerika Syarikat berbohong setiap hari. Lebih buruk lagi di dalam media sosial. Keputusan kajian juga menunjukkan apa yang tersebar dan sampai kepada masyarakat tidak boleh dipercayai.

Kebohongan ini bukan sahaja berkenaan berita dan maklumat baik politik, ekonomi, sosial dan budaya tetapi juga kebohongan tentang status, sijil, pencapaian, taraf pendidikan, jawatan, pekerjaan dan pelbagai lagi. Pengaruh yang menyumbang kepada era pasca-kebenaran ini terkait juga dengan kemunculan ramai ahli politik, ahli terapi sosial, individu dalam industri hiburan, ahli akademik, peguam yang tidak lagi terikat ketat dengan kod etika, atau kesedaran etika dan moral. Begitu juga dengan munculnya relativisme etika, pencinta diri sendiri (narkisus), kemerosotan nilai komuniti dan perkembangan internet. Masyarakat era pasca kebenaran hari ini ternyata telah kehilangan dunia realiti mereka, dan tercampak dalam dunia kepalsuan maya.

Kebimbangan dunia terutama di bahagian dunia maju terhadap era pasca-kebenaran sama sekali tidak mengecualikan Malaysia. Malah apa yang berlaku di AS dan belahan dunia lain juga sedang berlaku di Malaysia hari ini, iaitu masyarakat yang telah kehilangan dunia realiti mereka dan terawang dalam fantasi yang disuntik oleh dunia maya saban detik. Akhirnya siapapun tidak dapat lagi membezakan manakah yang benar dan manakah yang palsu. Maka langkah menggubal RRU Antiberita Tidak Benar perlulah dilihat dari sudut jangka panjang untuk membentuk kembali masyarakat yang berdiri di atas realiti pejal kebenaran. Sekali lagi untuk jangka panjang, ia tidak akan memihak kepada mana-mana pihak pun yang berkepentingan.