Menang Sungai Kandis, Petunjuk Menang Di Balakong & Seri Setia – MB Selangor

26
0

Oleh : Saadah Latib

SHAH ALAM: Kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini merupakan penanda aras kepada sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri khususnya.

Menurut Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari walau pun PRK sudah berakhir namun tanggungjawab kepada rakyat perlu diteruskan seperti mana yang diamanahkan oleh pengundi.

“Terima kasih kepada pengundi, kini tugas kita adalah untuk meneruskan tradisi peduli rakyat dan meneruskan kerja yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai dua PRK yang bakal diadakan di DUN Balakong dan Seri Setia beliau berkata Pakatan Harapan sudah bersedia untuk mempertahankan kerusi yang telah dimenangi pada PRU-14 lalu.

“Insyallah bagi Pakatan Harapan kami melihat dengan lebih positif dua PRK yang akan berlangsung tidak lama lagi, jadi kemenangan di Sungai Kandis ini sebagai simbolik serta semangat menjelang PRK Balakong dan juga Seri Setia akan datang,” katanya ketika sidang media selepas pengumuman kemenangan Zawawi sebentar tadi.

Keputusan  itu diumumkan Pegawai Pengurus Bahagian PRK DUN Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad di Dewan Besar Sri Tanjong di sini sebentar tadi.