“Melayu Sudah Lama Berpecah, Bukan Sebab Kami” – Hadi Awang

225
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menepis tohmahan sesetengah pihak mengatakan pembentukan blok pakatan baharu yang dianggotai Pas dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) hanya menyebabkan Melayu semakin berpecah.

Jelasnya, Melayu sudah sekian lama terbahagi mengikut parti-parti politik sedia ada dan gagasan pemikiran yang dibawa masing-masing.

“Bukan sebab kita (Pas) Melayu berpecah.

“Apa yang kita buat ini adalah untuk kembali menyatukan Melayu dan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sebelum ini ada dakwaan yang mengatakan blok pakatan ketiga atau apa yang dipanggil sebagai Third Force ini akan memecah-belahkan undi dalam kalangan pengundi Melayu, memandangkan Pas memiliki ramai pengikut dari kalangan Melayu Islam lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar.

Bagaimanapun beberapa penganalisis politik tempatan melihat usaha Pas dalam mewujudkan alternatif selain Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan mungkin menghadapi kesulitan.

Walaupun Pas merupakan sebuah parti besar dan berpengalaman dalam kancah politik tempatan selama berpuluh tahun, keupayaan Pas bersama rakan pakatan baru meraih sokongan diragui, lebih-lebih lagi selepas ketiadaan tokoh berkaliber, Tuan Guru Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat serta konflik yang berlaku dalam parti perjuangan Islam itu kebelakangan ini.

Veteran DAP, Lim Kit Siang juga sebelum ini juga berpandangan bahawa pengwujudan blok pakatan baharu itu tidak memberi impak kepada Pakatan Harapan, malah kepada landskap politik negara secara amnya.

Bagaimanapun, Abdul Hadi yakin mereka dapat meneraju gerakan perubahan pentadbiran negara ke arah positif dengan prinsip pakatan baru yang mendukung konsep membangkang secara matang selain menolak bangkangan ekstrem.

“Itu masa depan, hanya tuhan sahaja yang tahu masa depan pakatan ini,” ulas Abdul Hadi ringkas.- AWANI