MBM Sokong Mujahid

36
0

SEPANG: Majlis Belia Malaysia (MBM), menyokong kenyataan Menteri di Jabatan Pendana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang mahu supaya pegawai pejabat agama tidak lagi mengetuk atau memecahkan pintu premis jika terdapat laporan kes khalwat atau aktiviti maksiat lain.

Presidennya yang baharu Jufitri Joha, berkata ini kerana aktiviti maksiat adalah satu perbuatan yang dilakukan secara tersembunyi dan di lokasi tertutup.

Beliau yang berkelulusan dalam bidang syariah dan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata ini bermakna dosa perlakuan atau perbuatan maksiat berkenaan adalah antara pelaku dengan Allah sahaja.

“Bagaimanapun jika individu Islam berkenaan melakukan maksiat di tempat terbuka atau di khalayak ramai sehingga mengganggu atau mengancam ketenteraman awam, orang lain terkesan dengan dosanya maka ia boleh diambil tindakan.

“Namun jika perbuatan maksiat itu berlaku di tempat tertutup seperti rumah maka perbuatan tidak bermoral berkenaan adalah antara pelaku dengan Tuhan.

“Operasi maksiat hanya boleh dilakukan sekiranya perbuatan terkutuk itu berlaku di khalayak umum dan mengganggu orang awam. Itulah yang cuba disampaikan oleh beliau (Dr Mujahid),” katanya ketika ditemui selepas diumumkan menang jawatan Presiden MBM untuk sesi 2018-2020 sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di sini sebentar tadi.

Bagi jawatan Timbalan Presiden MBM pula dimenangi wakil Majlis Belia FELDA Malaysia, Muhammad Fadzi Hassan tanpa bertanding, manakala Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Lim Swee Bok dan Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz pula menang kerusi naib presiden selepas menewaskan dua calon lain.

Mengulas lanjut, Jufitri berkata, apa yang penting sekarang adalah masyarakat perlu diberikan pendidikan dan kesedaran mengesan kesan setiap perbuatan maksiat dilakukan mereka.

“Kadang kala kita terlalu bergantung kepada kerajaan tidak mendidik masyarakat tentang cara mencegah maksiat,” katanya.

Terdahulu, Jufitri melahirkan rasa syukur dan gembira kerana menang tanpa bertanding jawatan Presiden MBM baharu dan menganggapnya sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar dalam senario Malaysia baharu sekarang.