Mayat Separuh Tertanam Di Kkebun Durian

21
0

JOHOR BAHRU: Mayat seorang lelaki ditemui dengan separuh badannya tertanam dalam tanah dekat kebun durian di Bandar Baru Kangkar Pulai di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mayat dipercayai warga Malaysia yang belum dikenal pasti bangsanya ditemui dalam keadaan mula reput pada bahagian muka dan sudah berwarna hitam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang menemui satu mayat, namun tidak pasti bangsa dan jantina, di satu kebun durian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mayat dipercayai seorang lelaki, namun bangsa tidak pasti dan ditanam separuh badan dalam tanah manakala mayatnya mula reput pada bahagian muka dan sudah hitam.

“Apabila digali, kita dapati mayat lelaki itu berpakaian lengkap baju-T berwarna merah dan berseluar jeans pendek.

“Kami menemui wayar ‘jumper’ bateri kereta berhampiran mayat, namun tiada kesan kecederaan fizikal dilihat pada tubuh mangsa,” katanya.

Menurutnya, jarak lokasi penemuan mayat itu dari jalan besar kira-kira tujuh kilometer dan jaraknya dari jalan tanah kebun hampir lima kilometer.

Katanya, mayat dipercayai sudah mati antara seminggu ke dua minggu lalu dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kesan lebam di bahagian dada akibat dipukul menggunakan objek tumpul seperti getah paip atau tali.

“Terdapat kesan lebam di badan mayat, kesan jerut di leher, ada tanda suntikan BCG di lengan kiri, manakala kemaluannya tiada kesan potong atau sunat.

“Dia memakai satu anting-anting berlogo Nazi di telinga sebelah kiri serta memakai cincin jenis keluli tahan karat bersaiz sembilan di jari hantu sebelah kanan yang bertulis ‘forever love’. Kami mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan sejenis.

“Lelaki yang dianggarkan berusia antara 18 hingga 40 tahun itu berkemungkinan dipukul oleh suspek dengan senjata tumpul di dada dan belakang badan,” katanya.

Noor Hashim berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.