Mati Dalam Kereta

25
0

AMPANG: Seorang lelaki ditemui mati dalam sebuah kereta di bahu jalan dekat Jalan Mega 8, Taman Mega Jaya, di sini, tengah hari semalam, disyaki akibat terhidu gas karbon dioksida.

Pihak bomba mendapati terdapat hos yang bersambung dari ekzos dan masuk ke kereta jenis Audi itu.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohd Nurizawan Basri, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.18 tengah hari sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah seramai lapan anggota termasuk Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (ERMS) bergegas ke lokasi.

“Setibanya di lokasi dan membuat pemantauan menyeluruh mendapati seorang lelaki berusia 44 tahun tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta. Pihak kami kemudiannya berjaya membuka pintu kenderaan lelaki itu.

“Sebaik berjaya membuka pintu kereta, kami mendapati lelaki itu sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, anggota ERMS kemudiannya membuat ujian nadi dan bantuan pernafasan (CPR), namun lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pihak pegawai perubatan dari Hospital Ampang.

Mayat lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan keadaan di lokasi, lelaki itu dipercayai lemas atau keracunan gas karbon dioksida daripada asap kenderaan itu sendiri berdasarkan penemuan hos getah yang bersambung dari ekzos ke dalam kereta itu.

“Bagaimanapun, punca kematian akan disiasat polis berdasarkan hasil bedah siasat,” katanya.