Masyarakat Perlu Bimbingan Kesedaran Kesihatan Mental

9
0

Oleh: Saadah Latib & Faizal Riduan

PUTRAJAYA: Masyarakat negara ini perlu diberi pendedahan mengenai kesedaran kesihatan mental.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Wan Azizah Wan Ismail, kesihatan mental sering mendapat stigma yang negatif oleh masyarakat berbanding sakit fizikal.

“Rakyat Malaysia perlu menghentikan sikap meminggirkan mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental, sebaliknya hendaklah membantu mereka.

“Mengapa kita mudah bersimpati dengan seseorang yang patah tangan dan menjauhkan diri daripada seseorang yang menghadapi tekanan perasaan?” katanya.

Tambah beliau, tema Hari Kesihatan Mental pada tahun ini yang fokus kepada kanak-kanak dan remaja bertepatan dengan keadaan negara yang sedang membangun terutama sekali dalam bidang teknologi dan infrastruktur.

“Tema “Young People and Mental Health In A Changing World” pada saya amat bertepatan bagi negara kita Malaysia sebagai negara yang pesat membangun dari segi infrastruktur dan juga kerana kita mempunyai penduduk dari golongan belia remaja yang berumur 15 hingga 24 tahun yang tinggi.

“Saya juga difahamkan pelbagai masalah kesihatan mental, mengikut kajian dan lapuran terkini, berlaku dikalangan remaja dan belia di sekolah-sekolah seperti ketagihan internet, penggunaan dadah illicit, buli, penggunaan alkohol dan merokok, perlakuan seksual dan ponteng sekolah.

“Kepada saya kajian saintifik seperti ini harus dijadikan “signal” atau tanda amaran berkaitan tahap kesihatan mental dikalangan kanak-kanak dan remajanya,” ujarnya ketika ucapan pada Majlis Sambutan Hari Mental Sedunia 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, sebentar tadi.

Turut hadir Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Yayasan Kesihatan Mental (MHF).