Marah Kakitangan Bukan Perkara Serius – Pengerusi FELCRA

26
0

KUALA LUMPUR: Pengerusi FELCRA Berhad (FELCRA), Datuk Nageeb Wahab, menyifatkan kejadian seorang pegawai kanannya yang dirakam memarahi kakitangan, bukan sesuatu yang serius dalam usaha membuat perubahan dalam agensi itu.

Katanya, Ketua Pegawai Operasi, Mohd Khairi Mahamor, yang dirakam dalam video yang tular itu juga tidak mengeluarkan perkataan kesat atau lucah, sebaliknya hanya memarahi kakitangan.

Beliau berkata, kes berkenaan akan diselesaikan di peringkat dalaman memandangkan kejadian itu membabitkan komitmen seorang pegawai yang mahu melakukan perubahan cara kerja dalam agensi berkenaan.

“Bagi saya ia bukan perkara serius. Kami bersetuju beliau mungkin dalam keghairahan untuk membuat perubahan, dia terlepas (marah).

“Beliau tidak mengeluarkan perkataan lucah, bukan? Ia hanya dia marah dengan kakitangan. Tapi sudah tentu kami akan uruskan perkara ini.

Beliau berkata Ahli Lembaga Pengarah FELCRA akan bermesyuarat esok bagi membincangkan perkara itu.

“Kita ada mesyuarat lembaga pengarah esok. Tapi bagi saya secara jujur, kalau anda biasa bekerja di ladang, ini (marah) biasa. Mungkin cara dia dan penerimaan sekarang,” katanya kepada media di Wisma FELCRA hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Mohd Nazrul Izam.

Sementara itu Mohd Nazrul berkata, kejadian itu mempunyai kaitan dengan usaha agensi itu memperbaiki segala kesilapan dan kelemahan lalu.

“Dalam keghairahan itu (melakukan perubahan) ada yang tidak dapat mengawal emosi,” katanya.