Manifesto PH Tidak Munasabah, Bersifat Populis

19
0
KONGSI

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) menawarkan manifesto tidak munasabah dan bersifat populis, dengan matlamat memancing undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Pensyarah Kanan Politik dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib, berkata pakatan pembangkang tidak mengambil kira situasi ekonomi semasa dalam merangka manifesto berkenaan.

“Ini manifesto tak munasabah (dengan perancangan untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan mengawal harga barangan).

“Adakah mereka mengambil kira situasi semasa ekonomi global? Bajet hampir setiap negara terhad, jadi mereka ambil langkah meningkatkan pendapatan. Ini termasuk Arab Saudi dan Singapura.

“Petanda buruk buat Malaysia apabila ada parti menggunakan GST sebagai alat politik. GST bukan ‘jentera’ politik untuk memancing pengundi. Ia pendekatan ekonomi untuk menjana pendapatan bagi kebaikan rakyat dan negara.

“Kerajaan sekarang tidak hanya melaksanakan GST semata-mata, kerana pada masa sama turut menawarkan pengecualian cukai dan subsidi tertentu untuk meringankan beban rakyat,” katanya kepada NSTP, malam tadi.

Mengenai perancangan PH untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Shukri berkata, semua negeri adalah setaraf, justeru tidak perlu mengkaji semula perjanjian itu.

Beliau berkata, ini membuktikan pakatan pembangkang cuba memecah-belahkan rakyat untuk memperoleh kuasa.

“Pakatan Harapan tidak bertanggungjawab dan tidak layak mentadbir negara. Manifesto mereka tidak mampu memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

“Jika sekalipun hendak memerintah, mereka patut mengkaji dulu keperluan kerajaan, negara dan rakyat. Bukan terus saja melaksanakan 10 perkara dalam tempoh 100 hari.

“Barisan Nasional (BN) masih berupaya mentadbir negara kerana mereka tidak berjanji melebihi kemampuan. Kerajaan BN tahu keperluan rakyat dan melaksanakan pendekatan berdasarkan situasi ekonomi semasa, sekali gus memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata Manifesto PH bersifat populis dan kurang strategi pelaksanaan, sekali gus menunjukkan ia hanya bertujuan memancing pengundi.

“Ambil contoh perancangan untuk mengawal harga barangan, pada hal ia bergantung kepada faktor bekalan dan permintaan, bukan semata-mata keputusan politik.

“Harga minyak mentah pula bergantung kepada harga pasaran dunia dan tidak boleh dikawal menerusi kaedah dalam negara.

“PH hanya mengitar semula isu dalam usaha memperoleh kepercayaan dan populariti dalam kalangan rakyat,” katanya. – BH