Malaysia Buka Semula Kedutaan Di Pyongyang – Tun M

20
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Malaysia memutuskan membuka semula kedutaannya di Pyongyang, Korea Utara sebagai satu cara menyambung semula hubungannya dengan republik itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata demikian apabila ditanya mengenai status kedutaan dan misi Malaysia di negara itu yang masih tergantung serta disifatkan sebagai membuang masa.

“Ya, kita akan membuka semula kedutaan itu (Pyongyang),” katanya kepada agensi penerbitan terbesar Jepun, Nikkei Asian Review ketika Persidangan Luar Masa Depan Asia 2018 di Tokyo, semalam.

Kedutaan Malaysia di Korea Utara menamatkan perkhidmatannya sejak April 2017 susulan kontroversi pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Susulan itu, Malaysia mempertimbangkan menutup kedutaannya di Pyongyang secara kekal dan memindahkan kedutaan ke Beijing.

Sementara itu, pada Sidang Kemuncak Amerika Syarikat-Korea Utara hari ini, Dr Mahathir berkata Malaysia tidak boleh ragu-ragu atas keikhlasan Korea Utara dalam rundingannya dengan Barat kerana syak wasangka akan menghalang kerjasama itu.

“Kita patut ‘jaga air muka’ Korea Utara dan pastikan mereka mengambil bahagian dalam rundingan antarabangsa untuk mengamalkan pendirian bersederhana, seperti dasar diamalkan sebelum ini.

“Kita sepatutnya menelitinya sebagai satu tindakan tepat dan cuba mewujudkan hubungan yang baik termasuk hubungan perdagangan dengan Korea Utara,” katanya.

Presiden AS, Donald Trump dan Jong-un bersalaman dan tersenyum ketika memulakan satu hubungan bersejarah pada pertemuan di Singapura hari ini, hanya beberapa bulan selepas mereka berbalas pengjinaan dan ancaman perang nuklear.

Dr Mahathir menegaskan Korea Utara mempunyai hak untuk mempunyai beberapa kepentingannya seperti AS.

“Sekiranya Korea Utara berjanji untuk meninggalkan senjata nuklear, maka tidak akan ada ketegangan. Pyongyang tidak akan membazirkan wang untuk meningkatkan kuasa ketenteraan kerana ‘ketakutan’ kepada AS dan Korea Selatan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pandangannya mengenai Trump, Dr Mahathir mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa Trump sukar difahami kerana sikapnya yang kerap berubah-ubah.

“Kita benar-benar tidak boleh membuat sebarang penilaian terhadap dasar Trump kerana dia boleh mengubah fikirannya,” katanya.