Mahu Orang Sungai Besar, Sekinchan Dapat Menteri – Jamal Yunos

151
0

KUALA LUMPUR: Selepas desas-desus Tan Sri Shahrizat Jalil dikhabarkan akan bertanding di Parlimen Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menjelaskan mengapa beliau mengundang Ketua Wanita Umno itu ke kawasannya.

Menurut Jamal, undangan kepada bekas menteri kabinet itu bukan jemputan biasa, sebaliknya ada harapan yang ingin disampaikan oleh pemimpin yang terkenal dengan pelbagai aksi gimik itu.

“Pertamanya, Shahrizat adalah ketua Wanita Umno Malaysia, jadi seperti kebiasaan apabila menjawat ketua wanita Umno Malaysia dan menang bertanding dia akan mendapat jawatan menteri penuh.

“Apabila menteri penuh datang ke Sungai Besar ini sudah pasti Sungai Besar akan mendapat pembangunan, sosio ekonominya, peruntukan dan sebagainya.

“Jadi sebab itu saya memikirkan ke arah itu untuk kebaikan dan kesejahteraan, demi untuk pembangunan di Sungai Besar ini,” katanya dalam satu acara bersama media dan penulis blog di Sekinchan, Sabtu lalu.

Pada masa ini kerusi Parlimen Sungai Besar disandang Budiman Mohd Zohdi yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang.

Sebelum ini juga terdapat desas desus Budiman akan diangkat sebagai calon Menteri Besar Selangor sekiranya BN memenangi pilihan raya di negeri itu.

“Jadi menteri penuh (Shahrizat) nak datang jadi ahli Parlimen di Sungai Besar dan DUN Sungai Panjang, YB Budiman menang, pasti akan ada something jawatan yang besar di dalam Selangor (untuk penduduk Sungai Besar),” kata Jamal.

Selain Shahrizat, Umno Sungai Besar juga mencadangkan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dicalonkan di DUN Sekinchan bagi menentang DAP.

Tiong Lai memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Bentong sejak tahun 1999.

“(Kalau) Presiden MCA bertanding di DUN Sekinchan dapat satu lagi menteri, jadi (Selangor) akan dapat dua menteri (Shahrizat dan Liow).

“Walaupun dia (Liow) dapat status menteri di (parlimen) Bentong sudah pasti presiden MCA (kalau menang di DUN) Sekichan dapat (seorang lagi) menteri dan sudah pastinya Sekinchan akan dapat untung.

“Saya (fikir keuntungan) ke arah itu, orang lain, bahagian lain nak berebut-rebut (jadi YB) akhirnya kalau yang jadi YB pun YB kotak. Bukan kata Budiman (pakai) baju kotak tetapi orang luar,” katanya.

Shahrizat sebelum ini dilaporkan tidak menolak kemungkinan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar susulan “jemputan” yang dibuat Jamal. – MK