MAHA 2018: 45 Spesies Ikan Tarikan Utama MySE

26
0

Oleh : Saadah Latib

SERDANG : Orang ramai berpeluang untuk melihat sendiri 45 spesies ikan yang jarang ditemui pada pameran Malaysia Seafood Exposition (MySE) 2018 yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Menurut Ketua Pengarah LKIM Jamaluddin Othman, penganjuran MySE ini bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat terutama golongan belia mengenai spesies hidupan laut yang kurang diketahui umum.

“Sempena MySE ini kita membawakan beberapa tarikan yang bertujuan menanam minat belia untuk menceburi bidang perikanan.

“Oleh itu, di MySE kita membawa kelainan apabila membawakan seperti ‘Kingdom of Seafood’ yang mempamerkan 45 spesies ikan yang jarang ditemui oleh masyarakat,” katanya.

MySE pada tahun ini bertemakan ‘Our Food Our Future’ yang memberi fokus kepada agro teknologi iaitu ‘From Lab to Table’.

Penganjuran MySE pertama kali dilaksanakan pada 2014 dan tahun ini ianya dilaksanakan bersempena pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 yang telah bermula pada 22 November hingga 2 Disember.