Madinah Serah Bukti Audit 1MDB Dipinda

37
0

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini menerima bukti daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bagi mengesahkan berlaku pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata Madinah mempertahankan kenyataan medianya sebelum ini mengenai berlaku pengguguran beberapa perenggan dalam laporan audit 1MDB itu.

Ronald berkata, PAC turut menerima beberapa nama baharu yang akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pindaan laporan audit syarikat pelaburan strategik negara itu.

“Seperti yang beliau nyatakan sebelum ini, Madinah memberitahu PAC laporan audit 1MDB itu diubah dan beliau memberi keterangan serta bukti bagi menunjukkan laporan audit itu diubah.

“Saya tak boleh kongsi bukti diberikan, tetapi kami memang menjangkakan Madinah akan memberi keterangan yang selari dengan kenyataan media beliau.

“Perjalanan prosiding hari ini memuaskan hati PAC dan kami menerima banyak keterangan daripada Madinah dan pasukannya mengenai isu disiasat iaitu sama ada laporan audit 1MDB itu diubah atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan prosiding PAC berhubung Laporan Akhir Pengauditan 1MDB membabitkan Madinah di bangunan Parlimen, hari ini.

Pada 25 November lalu, Madinah dalam satu kenyataan media mendedahkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuk membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Semalam, PAC memanggil bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bagi menjalani prosiding sama, dan menerima maklumat maklumat baharu berhubung kes berkenaan.

Portal berita NST yang memetik sumber hari ini melaporkan, Ambrin memberitahu PAC tiada pindaan dilakukan pada laporan audit 1MDB itu, manakala laporan asal didedahkan Madinah hanyalah draf.

Mengulas kenyataan Ambrin itu, Ronald berkata, pihaknya menerima penjelasan semua pihak dan PAC akan membuat pertimbangan selepas semua prosiding selesai.

Ronald berkata, tiada keperluan memanggil semula Madinah dan PAC akan meneruskan prosiding pada esok dengan memanggil bekas Pengarah Sektor Audit Kerajaan, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, sebelum siasatan disambung pada Januari.

“Esok adalah hari terakhir kita untuk kes ini sebelum bersambung bulan depan dan kita harap dapat membuat rumusan terhadap kes yang kita siasat pada Februari ini,” katanya.

Sementara itu, Madinah yang ditemui selepas prosiding itu berkata, segala dokumen dan bukti sudah diserah kepada PAC, termasuk mengenai sama ada Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan audit 1MDB.

Madinah yang tiba ke Parlimen kira-kira jam 3 petang, memaklumkan turut menyerahkan laporan asal audit 1MDB yang tidak dipinda kepada PAC.

Mengenai kenyataan Ambrin bahawa laporan asal itu hanya draf, Madinah berkata beliau tidak menerima maklumat mengenai apa yang dimaklumkan Ambrin kepada PAC.

“Saya tidak dapat maklumat mengenai keterangan Tan Sri Ambrin, hanya dimaklumkan dalam PAC. Saya sudah maklumkan pendapat saya kepada PAC,” katanya.