Leonardo DiCaprio Beri Keterangan Siasatan 1MDB

32
0

WASHINGTON: Pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio dilaporkan muncul secara rahsia di mahkamah Washington bagi memberi keterangan berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor The Washington Post.

Akhbar itu yang memetik sumber berkata pendakwa raya menganggap DiCaprio sebagai saksi yang boleh memberikan maklumat berguna berkaitan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Bagaimanapun, perincian prosiding tersebut tidak dapat disahkan susulan prosiding yang dijalankan secara rahsia.

Akhbar itu melaporkan wakil jurucakap Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat dan DiCaprio enggan mengulas lanjut

Jurucakap DiCaprio sebelum ini berkata bahawa pelakon itu bekerjasama dengan siasatan dan menyokong sepenuhnya semua usaha bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

DoJ melancarkan satu siasatan berikutan dakwaan bahawa dana awam Malaysia yang dicuri itu digubah secara haram melalui sistem kewangan Amerika Syarikat.

Jabatan itu turut memfailkan tuntutan saman kira-kira AS$1.7bilion (RM7bilion) membabitkan aset yang didakwa dibeli dengan dana berkenaan.