Lebih RM600,000 Dibelanja Untuk Buku 1MDB, Himpunan Baju Merah – Salleh Keruak

232
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Lebih RM600,000 dibelanjakan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) untuk mencetak buku penjelasan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Himpunan Baju Merah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata kedua-dua buku diterbitkan bertujuan untuk memberi penjelasan secara fakta mengenai kedua-dua isu berkenaan.

“Ini memandangkan kedua-dua isu dipolitikkan sehingga memberi impak yang ketara dari aspek keselamatan dan kesejahteraan negara,” kata Salleh.

Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan kepada Teo Kok Seong (DAP-Rasah) yang menanyakan tentang bilangan buku 1MDB dan Himpunan Baju Merah serta kos pencetakannya.

Buku berjudul 1MDB: Siapa kata tidak dijawab dicetak sebanyak 125,000 naskhah dalam tiga bahasa.

Majoritinya dicetak dalam Bahasa Malaysia iaitu 100,000 buah manakala 15,000 buah dicetak dalam Bahasa Tamil dan baki 10,000 buah dicetak dalam Bahasa Inggeris.

Kos pencetakan bagi buku tersebut adalah pada kadar RM4.85 sebuah menjadikan jumlahnya RM606,250.

Bagi buku ‘Himpunan Baju Merah‘ pula, ia dicetak pada kadar RM6 sebuah sebanyak 2,000 buah menjadikan jumlah kos pencetakan tersebut sebanyak RM12,000.