Lebih Afdal Bantu Kehidupan Rakyat – Muhyiddin

27
0

ALOR SETAR: Keputusan kerajaan membatalkan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) serta beberapa projek mega dilakukan atas faktor mahu meringankan beban rakyat menerusi pengurusan kewangan negara yang cekap.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tindakan wajar itu adalah seiring dengan manifesto Pakatan Harapan yang mahu mengutamakan kesenangan rakyat.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek mega tidak berfaedah yang boleh menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang yang besar jika diteruskan.

“Macam batal projek kereta api laju (HSR) bernilai RM124 bilion, yang nak singkatkan perjalanan satu jam sahaja, projek tidak berfaedah, urusan lebih afdal yang perlu didahulukan adalah menentukan rakyat kita hidup lebih senang.

“Nak buat Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), bernilai RM66 bilion. Kalau hasil (HSR dan ECRL) berbilion tak apa, tapi sebaliknya hutang sahaja. Maka Perdana Menteri buat keputusan tidak payah buat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan peringkat Kota Setar di Masjid Alor Mengkudu di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 1,271 terdiri daripada golongan ‘wira yang tidak didendang’ iaitu guru al-Quran kampung, bomoh patah, bidan kampung, jurumandi jenazah, penggali kubur dan tok mudim diraikan dengan menerima sumbangan barang keperluan dan wang tunai.