Lawyers For Liberty Gesa Tubuhkan IPCMC

8
0

KUALA LUMPUR: Lawyers for Liberty menggesa kerajaan baharu menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk menghalang insiden kematian dalam tahanan terus berlaku.

Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga berkata, sudah tiba masanya kerajaan baharu mengambil serius beberapa cadangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini mengenai kewajaran menubuhkan suruhanjaya berkenaan.

“Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun telah bersetuju dengan cadangan pertubuhan suruhanjaya tersebut, jadi tindakan segera perlu dibuat sebelum beliau ubah fikiran.

“Kita juga menggesa pihak Kementerian Dalam Negeri dan Peguam Negara untuk segerakan penubuhan suruhanjaya ini,” katanya dalam sidang akhbar berkenaan kematian membabitkan tahanan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Turut hadir, dua Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya dan Eric Paulsen serta Penasihatnya, N Surendran.

Dalam majlis sama, Ambiga turut melancarkan buku laporan ‘5 Faces: A story of police custodial deaths in Malaysia’ yang mendedahkan laporan kematian lima banduan antaranya A Kugan yang mati di Balai Polis Subang Jaya pada 20 Januari 2009 dan N Dharmendran ketika dalam tahanan lokap Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 21 Mei 2013.