Kumpulan ‘PKR Masa Depan’ Tolak Rafizi

27
0

PETALING JAYA: Sekumpulan anak muda yang menggelar mereka PKR masa depan menyokong gandingan ‘Triple A’ bagi menerajui parti itu.

Mengepalai kumpulan itu adalah Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin, yang merujuk ‘Triple A’ ataupun 3A merangkumi Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Presiden), Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi Timbalan Presiden) dan beliau sendiri, Afif, selaku Ketua AMK.

Beliau berkata, gandingan itu dapat menjadikan kepemimpinan PKR kuat bagi menerajui bukan saja parti malah negara.

“Anwar dan Azmin adalah dinamik duo dalam PKR. Tahniah kepada Anwar kerana menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini.

“(Antara Rafizi) Kami pilih Azmin disebabkan beliau mempunyai prestasi yang baik antaranya sebagai Menteri Besar Selangor sebelum ini, komited dengan agenda peduli rakyat dan setia kepada Anwar dan (Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) sejak 20 tahun, tiada bandingnya.

“Jadi, ini gandingan ‘Triple A’ yang kami tawarkan kepada semua. Ini bukan chai, tetapi kumpulan terbaik yang saya tawarkan kerana gandingan ‘Triple A’ ini pemimpin masa depan,” katanya pada sidang media selepas memperkenalkan senarai barisan kepemimpinan PKR masa depan.

Tanbah beliau, kepemimpinan PKR masa depan itu merangkumi barisan anak muda pelbagai latar belakang dan kerjaya dalam usaha menjadikan parti itu lebih kuat menempuhi cabaran mendatang.

Menjawab soalan pemberita sekiranya gandingan ‘Triple A’ tidak berlaku pada pemilihan nanti, Dr Afif berkata beliau percaya ahli PKR boleh memilih dengan baik dan berfikir dengan waras siapa yang patut mentadbir parti itu.

Dengan mengumumkan gandingan ‘Triple A’ itu juga, beliau memberi gambaran bahawa gerakan PKR masa depan menolak Rafizi Ramli sebagai bakal Timbalan Presiden PKR.

Dr Afif mengakui penolakan itu dengan memberi reaksi ringkas “lebih kuranglah” (tolak Rafizi).