Kuala Lumpur Banjir Kilat Susulan Hujan Lebat

54
0

KUALA LUMPUR: Hujan lebat sejak jam 5 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di ibu kota, Kota Damansara, Sungai Buloh dan Rawang dilanda banjir kilat.

Beberapa jalan utama turut dinaiki air menyebabkan kesesakan trafik di beberapa kawasan terutama di Sungai Buloh.

Antara laluan yang dinaiki air adalah Jalan Pudu Ulu, Jalan Cheras, Jalan Pudu Perdana, Jalan Datuk Keramat, Jalan Wirawati dan kawasan berhampiran PPR Hiliran Ampang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, setakat ini tiada pusat pemindahan dibuka membabitkan mangsa banjir kilat.

“Bomba masih menjalankan pemantauan dan pengawasan di kawasan yang dikenal pasti “katanya.

Beliau berkata, beberapa pasukan turut dikerahkan bagi memantau kawasan yang terjejas akibat kejadian itu

“Sehingga jam 7.30 malam tadi, air banjir kilat masih bertakung. Pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal dinasihatkan berhati-hati,” katanya.